Kejohanan e-sukan sering dikaitkan dengan pertandingan e-sukan sahaja namun kali ini SneakerLAH dan GamesMY Esports buat julung kalinya bakal tampilkan kelainan melalui acara EsportsLAH, sebuah acara pertama di Malaysia yang menggabungkan elemen e-sukan dan kasut sneaker.
Ia bakal dianjurkan di Pusat Dadangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 2 November dan 3 November ini.
Pengarah Games MY, Syamsul Helmi berkata, acara ini menjanjikan satu kelainan untuk arena e-sukan di negara ini.
Katanya, ia meraikan kepelbagaian latar belakang peminat dari penggemar sneaker sehinggalah ke peminat e-sukan di bawah satu acara.
“SneakerLAH adalah acara sneaker terbesar di Malaysia. Ia ibarat MPL, ramai yang mahu ke situ.
“Dari pemerhatian saya ke acara e-sukan, ramai orang yang sentiasa mementingkan pemakaian (kasut) dan ‘fashion sense’ jadi ia menepati apa yang kami mahu lakukan di EsportsLAH,” katanya ketika dihubungi MyGameOn.
Selain menyajikan tiga judul e-sukan iaitu MLBB, Tekken 8 dan EA FC 24 Pro Club, EsportsLAH juga mempunyai pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung seperti ‘watch party’, sesi bermain permainan video percuma, sesi temu ramah dan lain-lain.
Syamsul berkata, acara ini juga akan menampilkan pertunjukan fesyen.
“Kami mahu menampilkan organisasi e-sukan yang mana akan ada pempengaruh bakal memperagakan busana (apparel) mereka di acara EsportsLAH nanti.
“Acara ini juga akan membantu mempromosikan kejohanan dunia MLBB, M6 pada Disember nanti,” katanya.
Bagi anda yang mahu mengikuti perkembangan lanjut mengenai EsportsLAH, boleh layari laman web INI atau di Instagram mereka @esportslah.