Faktor usia bukan penghalang buat Sora (jurulatih Orange Esports)

Pasukan Orange Esports adalah juara ranking bagi kumpulan A di dalam peringkat liga MPL MY musim kelapan. Mereka terus konsisten mencari mata bagi melayakkan diri ke peringkat upper bracket playoff yang akan bermula pada 15 Oktober ini.

Setiap pemain Orange boleh dikatakan mempunyai mechanical skill yang tinggi. Walaupun sebahagian dari mereka baru menjejakkan diri ke liga MPL namun mereka membuktikan mereka mampu untuk mencapai prestasi yang cemerlang.

Di belakang pasukan yang kuat pasti ada seorang jurulatih yang berkaliber dan sangat bijak mengatur strategi untuk memberikan ilmu yang cukup kepada barisan pemain dibawahnya. Kami dari MyGameOn sempat menemu bual jurulatih pasukan Orange Esports.

Muhammad Farhan Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Sora adalah seorang yang berwawasan tinggi. Ketika ditanya tentang perasaan beliau apabila pasukan Orange Esports berjaya layak ke upper bracket playoff , dia sangatlah gembira tak terkata.

“Saya merasa sangat gembira sebab tidak menjangkakan bahawa pasukan kami akan mendapat tempat pertama di dalam kumpulan A. Namun begitu, pencapaian ini berjaya didapatkan kerana kami sangat komited untuk memenangi MPL kali ini,” katanya.

PENGALAMAN COACHING

“Majoriti dari pemain Orange berasal dari Lunatix dan mereka sememangnya sudah selesa bersama saya sebelum ini.

“Bagi pemain yang baru mengenali saya seperti Mann, Minn dan Ahmad Jennie, mereka juga banyak mengajar saya pengalaman bermain di MPL dan ia banyak membantu saya untuk melatih mereka berdasarkan pengalaman saya.

“Two side coaching antara satu sama lain dan saling memahami menjadi faktor kepada saya dan pasukan baru untuk membentuk satu pasukan yang ideal bagi bergelar juara,” katanya.

KATA-KATA SEMANGAT

Ditanya tentang cara beliau memberikan semangat selepas pasukan menerima kekalahan “Walaupun kami banyak menang dan ada beberapa kekalahan terutamanya di minggu pertama, pasti akan berlaku konflik kecil di antara pemain dan saya akan menyuruh mereka untuk reset kembali minda dan letakkan fokus kepada permainan seterusnya.

“Pasukan saya boleh menerima dengan baik apa nasihat yang saya ingin sampaikan dan terus melakukan follow up. Kami di Orange Esports mengamalkan tentang nasihat itu perlu dilihat dari segi bentuk nasihat itu sendiri dan bukan melihat kepada sang pemberi.

“Kerana nasihat yang bermakna tidak mengira peringkat umur sebaliknya mesej yang ingin disampaikan itu sendiri perlu diutamakan,” ujarnya.

TEAM PALING KUAT

“Pasukan yang paling kuat yang pernah kami jumpa adalah Todak kerana mereka sangat berpengalaman. Mereka sangat bijak mengubah komposisi hero dan yakin dengan pemilihan hero itu sendiri.

“Namun begitu, jika kami mengambil masa yang diperlukan untuk membuat persediaan secukupnya. Kami yakin Todak pasti akan dapat dikalahkan,” ujar beliau.

Ketika ditanya tentang draft yang akan dimainkan di playoff nanti, Sora berkata, mereka akan melihat hero sesuai untuk meta terkini dan membuat persediaan secukupnya malah mereka tidak akan lagi menyorokkan strategi melawan skuad lain.

Zeys dari EVOS Legends adalah salah seorang individu yang menjadi inspirasi buat Sora. Cara Zeys melakukan drafting adalah sangat pantas dan beliau cepat bertindak untuk mengubah draft mengikut keperluan pasukan dan untuk counter pasukan lawan.

Akan tetapi, Sora yakin dengan potensi dirinya sendiri dan strategi yang akan diguna pakai bagi memperolehi gelaran juara kelak di MPL MY playoffs nanti.

Sora berusia 22 tahun.

Ditanya cabaran menjadi seorang jurulatih dalam usia begitu muda, beliau menjawab “Cabaran yang paling sukar untuk saya hadapi ketika menjadi jurulatih adalah faktor usia saya yang masih muda. Berusia 22 tahun ketika ini, saya berasa sedikit gementar ketika ditugaskan menjadi jurulatih pasukan ini pada awalnya.

“Namun selepas kata-kata motivasi dan sokongan dari pemain dan pihak pengurusan, saya menjadi lebih yakin dan bersemangat untuk membawa pasukan saya menjadi juara. Sudah tentu sasaran kami adalah Kejohanan Dunia, M3. Saya akan pastikan pasukan saya akan layak ke M3 kelak,” tambah beliau.

Sora mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyokong pasukan Orange Esports dari awal liga sehingga ke minggu akhir.

“Maafkan kami kerana tak berapa perform pada minggu pertama liga. Walaupun keputusan pada awalnya tidak begitu baik namun kami berjaya bangkit untuk menjadi juara di kumpulan A sekaligus membuktikan kepada pasukan lawan bahawa Orange Esports bukan satu pasukan yang mudah dipandang rendah,” ujarnya.

Orange Esports diwakili oleh:

1. Muhammad Fitri Hafiz Shaharum – Isonic

2. Mohd Norhadim Yusup – LinkEzaa

3. Muhammad Izz Daniel Zaidi – Iris

4. Muhammad Danish Abdul Razak – SitiNurSana

5. Valenz Luk Jun Yip – Valenz

6. Muhamad Badrul Amin Enche Ibrahim – Ahmad Jennié

7. Aiman Zairie Anuar – Mannn

8. Aimin Zairie Anuar – Minnn

RELATED NEWS

+