FIFA 18: Luqman ‘Fenrir’ Haziq Juara Kejohanan UNITAR Gaya Bola Raya Bola, Bawa Pulang RM5,000

Pemain profesional siri FIFA negara, Luqman ‘Fenrir’ Haziq cemerlang dalam kejohanan Esports Gaya Bola Raya Bola anjuran Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) dengan kerjasama Gamesbond. Selain bergelar juara dalam pertandingan 256 orang pemain, Fenrir juga membawa pulang wang tunai RM5,000 semalam.

“Saya rasa pertandingan sebegini memang bagus. Ini kali kedua saya sertai kejohanan e-sukan di universiti jadi semestinya ia adalah satu pendekatan baik dari pihak mereka untuk memberi sokongan kepada siswa menceburi bidang ini,” kata Luqman.

Kejohanan itu dianjurkan sempena demam FIFA World Cup yang masih berlangsung sehingga pertengahan bulan ini. Ketua Pegawai Eksekutif UNITAR International University, Puvan Balachandran mengatakan kejohanan ini adalah inisiatif universiti untuk menggalakkan siswa menyertai aktiviti yang sihat.

“Ini adalah masa sesuai untuk adakan pertandingan e-sukan bersempena World Cup dan kami berkolaborasi bersama Gamesbond untuk jayakan acara ini.

“Objektif kami tentunya untuk menggalakkan penyertaan siswa kami dalam aktiviti selain akademik. Kami turut membuka penyertaan luar untuk mewujudkan suasana kompetitif dalam kalangan siswa kami dan mendedahkan mereka dengan dunia luar,”

Sementara itu, Pengasas Gamesbond, Muhammad Fazli berkata, kejohanan seumpama ini adalah pendekatan positif untuk komuniti. Biasiswa penuh ditawarkan dalam acara e-sukan oleh UNITAR patut dicontohi universiti lain.

Acara ini juga antara yang pertama menawarkan hadiah kemenangan yang boleh ditukarkan kepada biasiswa penuh. Pemenang di tempat kelima hingga kelapan juga berpeluang menerima biasiswa separa 50 peratus yuran pengajian.

Ia dimeriahkan lagi dengan kehadiran tetamu jemputan iaitu hos selebriti dari Astro, Reem Shahwa dan Dayang Zainatull Aqma. Ahli Parlimen Batu, Yang Berhormat P Prabakaran juga hadir berkongsi kisah hidupnya sebagai ahli politik dan pelajar.

RELATED NEWS

+