Genshin Impact: masih sesuai untuk mula bermain pada tahun 2021?

Tiga bulan sudah berlalu sejak dunia permainan video digoncangkan oleh Genshin Impact, permainan terbaru daripada studio miHoYo. Ia kini telah menjadi salah satu permainan paling popular di dunia. Menurut SensorTower, permainan ini mengaut keuntungan hampir AS$400 juta (~RM1.6 bilion) dalam tempoh dua bulan pertamanya.

Walaubagaimanapun, masih terdapat ramai pemain PC, PlayStation 4 (PS4), PlayStation 5 (PS5), dan peranti mudah alih yang belum mencuba permainan ini. Penulis yakin persoalan yang sama bermain di fikiran mereka: Adakah masih berbaloi untuk melaburkan masa dan tenaga dalam Genshin Impact?

Penulis juga percaya terdapat golongan yang telah mencuba permainan ini tetapi meninggalkannya kerana sibuk dengan permainan lain atau aktiviti-aktiviti lain. Jika anda berada dalam golongan ini, penulis yakin anda juga terfikir untuk kembali bermain Genshin Impact.

Pada pendapat penulis, Genshin Impact memang masih berbaloi untuk dimain. Terdapat beberapa faktor yang menyokong pendapat penulis. Mari kita lihat faktor-faktor tersebut secara satu demi satu.

 

Kekal percuma, aspek “pay-to-win” terkawal

Dari hari pertama hingga sekarang, Genshin Impact kekal sebagai sebuah permainan free-to-play (F2P). Anda tidak perlu mengeluarkan walaupun satu sen untuk mula bermain permainan ini di PC, konsol, dan telefon pintar.

Ramai orang mempunyai tanggapan bahawa permainan percuma selalunya berkualiti rendah tetapi ini tidak benar untuk Genshin Impact. Ia mempunyai kualiti setanding permainan-permainan yang dijual pada harga yang tinggi.

Anda hanya perlu melaburkan wang tunai jika ingin mendapatkan lebih banyak item atau mata wang yang digunakan untuk memperoleh watak-watak baharu. Walaubagaimanapun, semua perkara yang boleh dibeli juga boleh diperoleh dengan cara permainan biasa. Anda hanya perlu melaburkan masa, tenaga dan usaha yang secukupnya.

Semua ciri-ciri permainan yang menyeronokkan seperti jalan cerita utama yang menarik, mod permainan multi-pemain bersama rakan-rakan, dan banyak lagi boleh diakses secara percuma. Anda hanya perlu melanggani khidmat internet.

 

Multi-pemain rentas platform

Genshin Impact boleh dimain di PC, PS4, PS5, dan telefon pintar. Di Malaysia, terdapat ramai pemain di setiap platform dan anda boleh memindahkan kemajuan permainan antara versi PC dan telefon pintar.

Malangnya, versi PS5 dan PS4 menggunakan pelayan yang berbeza, oleh itu anda tidak boleh memindahkan kemajuan ke platform lain jika bermain di konsol.

Dalam mod multi-pemain, anda dan rakan-rakan boleh bersama-sama mengalahkan musuh bos yang kuat dan juga menyelesaikan misi dungeon atau domain. Ini membolehkan pemain yang berpengalaman membantu pemain baharu.

Jika anda ingin bermain di telefon pintar tetapi rakan-rakan anda bermain di konsol atau PC, jangan risau. Permainan ini menyokong permainan multi-pemain rentas platform. Semua pemain PC, konsol, dan telefon pintar boleh bermain bersama-sama.

Terdapat pelbagai perkara rahsia yang disembunyikan dalam Teyvat (dunia Genshin Impact) seperti harta karun, lokasi pemandangan cantik, dan banyak lagi. Anda boleh mengembara bersama rakan-rakan anda untuk menemui semua perkara ini.

 

Sentiasa menerima kandungan baharu

Bermula dari kemas kini pertama, Genshin Impact telah menerima pelbagai kandungan baharu termasuk enam watak yang boleh dimain, pelbagai misi utama dan misi sampingan, dan juga kawasan baharu.

Kesemuanya boleh diakses secara percuma oleh semua pemain dan miHoYo merancang untuk melancarkan lebih banyak kandungan pada masa depan. Kemas Kini 1.3 akan memperkenalkan seorang lagi watak baharu iaitu Xiao dan pemain boleh menyertai sambutan Lantern Rite.

Penulis faham bahawa kebolehan untuk mendapatkan watak-watak tertentu kini menjadi sukar kerana aktiviti untuk roll watak bertukar mengikut musim. Walaubagaimanapun, miHoYo menjanjikan setiap watak akan kembali ke standard banner (acara roll yang tidak mengikut musim). Watak yang anda inginkan tetap boleh diperoleh pada masa depan.

Kepercayaan bahawa terdapat watak yang terlalu lemah atau tidak berguna adalah salah. Setiap parti boleh diolahkan supaya menjadi kuat dan berkesan dalam mengalahkan musuh. Anda hanya perlu belajar tentang gabungan elemen yang sesuai dan cara penggunaan senjata yang optimum.

Tidak ada istilah “terlalu lewat” untuk mula bermain Genshin Impact dan tiga faktor di atas membuktikannya. Penulis percaya bahawa sekarang ialah waktu yang sangat sesuai untuk memulakan perjalanan anda dalam Teyvat.

Dunia Genshin Impact yang cantik ini penuh dengan cerita yang menarik serta pelbagai watak yang mempunyai personaliti comel dan mudah disukai. Jangan rasa malu untuk meminta tolong pemain-pemain lain seperti ahli-ahli laman Facebook Genshin Impact (Malaysia) kerana mereka sentiasa sudi membantu dan memberi tunjuk ajar.

RELATED NEWS

+