Ibu dan anak dari Singapura ini bertanding bersama-sama dalam e-sukan

Artikel ini diterjemah daripada IGN SEA.

Tak kiralah macam mana keadaan sekali pun, kebanyakan ibu bapa pasti akan khuatir ataupun terfikir sejenak jika anak mereka ingin menceburi bidang e-sukan sebagai pemain prfoesional.

Walaupun ada ibu bapa yang menyokong karier e-sukan ini dengan menemani mereka ke kejohanan dan memberi sokongan moral, mereka adalah sangat rare. Tapi macam mana pula dengan ibu bapa yang mencuba kelainan dengan menyertai kejohanan e-sukan bersama anak-anak mereka?

Ia semestinya jarang berlaku dan mengejutkan semua orang.

Tiada siapa yang lebih memahami situasi ini selain Siti “Hazel” Suriyanyi dan Nur “M4ryjane” Haafizhoh, ibu dan anak dari Singapura yang menonjolkan bakat dalam dunia e-sukan didominasi lelaki. Mereka bertanding di Free Fire World Series 2021, kejohanan dunia berprestij untuk e-sukan mudah alih.

Siti mungkin menjadi satu-satunya ibu di rantau Asia Tenggara yang juga seorang pemain aktif untuk sebuah pasukan e-sukan. Malah, pasukan yang dianggotainya iaitu Newgank juga diketuai oleh anaknya yang berusia 19 tahun.

“Anak saya memperkenalkan kepada permainan ini pada 2018 tapi dia berhenti bermain sebab nak sambung pelajaran. Saya yang minta dia main balik untuk bertanding di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya yang juga seorang paramedik separuh masa.

Nur, yang kini menceburi e-sukan sepenuh masa berkata, dia dan ibunya main Free Fire hanya sekadar suka-suka untuk luangkan masa bersama tapi kemudian mengambil langkah lebih serius selepas mendapati ada keserasian antara mereka.

“Ia menguatkan lagi ikatan bersama ibu. Tapi ketika bertanding, kami profesional dan tahu peranan masing-masing. Ia seronok dan penuh debaran,” katanya. Ibunya juga menghormati setiap keputusannya sebagai kapten Newgank.

Pasukannya yang dianggotai dua pemain lain, berlatih hampir setiap hari pada tengah malam hingga jam 2AM kerana itu waktu sesuai selepas kerja harian.

Walaupun Newgank tidak memenangi kejohanan dunia Free Fire itu, Nur berkata pasukannya gembira dan berpuas hati dengan pencapaian.

“Pasukan lain teruja apabila mendapat tahu ada duo ibu-anak di pasukan lawan. Saya tak pasti jika mereka takut dengan kami tapi lebih kepada terkejut mungkin,” ujarnya.

Sementara e-sukan masih karier yang sesuai, Siti mengakui pelajaran perlu diutamakan. Siti bagaimanapun berkata, ibu bapa patut menyokong minat anak mereka.

“Saya menyarankan anak-anak untuk main game bagi hilangkan tekanan. Bagi sesiapa yang ingin terbabit dalam e-sukan, jangan rasa malu dan kejar impian anda untuk menjadi yang terhebat dan mencapai sesuatu yang lebih bermanfaat di masa depan,” katanya.

Siti dan Nur akan terus bertanding dalam Free Fire sebagai satu pasukan.

Baca artikel asal di pautan ini.

RELATED NEWS

+