‘Impian Setiap Lelaki!’ – Jejaka Ini Dapat Sokongan Isteri Bertanding Dalam PUBG Mobile

Apa saja kita buat, mesti perlukan sokongan. Lagi-lagi bila dah berkahwin, sokongan isteri amat penting walaupun kita ni nak main jadi pemain game sepenuh masa!

Pemilik nama Aiman Amirul Mohd Sahid, 22 atau lebih dikenali sebagai ManParang adalah figura e-sukan yang sangat terkenal dalam kalangan komuniti PUBG Mobile. Beliau bersama Muhammad Hazim Abd Hamid (Jimboy), 25, Abdul Azim Ikromi Abdul Rashid (Draxx), 20 dan Mohamad Hafizi Baharudin (Geek), 23 kini bermain di bawah skuad Yoodo Gank.

Semalam, pasukannya menyertai kejohanan PUBG Mobile Club Open (PMCO) Malaysia Finals yang menyaksikan 16 pasukan berentap untuk merebut slot 5 terbaik bagi melayakkan diri ke Shanghai, China. Dalam saringan itu, Yoodo Gank berjaya memperoleh tempat keempat dengan skor 114 mata dan layak ke saringan seterusnya. 

Terima penuh sokongan isteri

ManParang bersama isterinya, Fatimah Az-Zahrah

Ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah, isterinya, Fatimah Az-Zahrah berkata pada mulanya dia tak bersetuju suaminya bermain game.

“Sebelum kahwin, kami bertunang masa tu dan saya kurang bersetuju kalau dia main game takut lalai dan tak bahagikan masa dengan betul.

“Alhamdulillah selepas kami berkahwin, senang nak pantau dia sebab kami tinggal bersama. Asalkan dia boleh fokus dalam kehidupan dan tak pernah abaikan tanggungjawab, saya akan tetap menyokong,”

Sebagai seorang isteri, Fatimah turut beri sokongan kepada suaminya dengan memberi kata semangat.

“Kalau dia ada pertandingan di ibu kota, pasti saya akan mengikutinya untuk bagi sokongan. Kami banyak bertolak ansur dan saya pun bagi dia ruang dan masa untuk main game dan fokus pada pertandingan,”

Kata ManParang, mereka tiada masalah dalam pembahagian kerja-kerja rumah kerana masing-masing bertolak ansur.

“Saya akan main game sekitar waktu 3 petang hingga 6 petang dan bukan pada waktu lain (kecuali kalau ada latihan).

“Jadi kalau tiada latihan, saya main apabila sedang strim jadi memang banyak waktu lapang untuk tolong isteri memasak, membasuh, menjemur pakaian dan lain-lain,”

Bersama Yoodo Gank

Gank.FTY (Flank of the Year) ditubuhkan pada 2018 dan mereka mula main tournament pertama pada bulan November.

“Selepas kami tubuhkan pasukan ini dalam seminggu, kami ada terlihat satu poster di Facebook pasal pertandingan di Comic Fiesta KLCC. 

“Pertandingan itu dijalankan selama dua hari dan kami berjaya membolot gelaran juara,”

Kata ManParang, beliau lebih berminat dengan PUBG Mobile disebabkan ia mudah diakses dan lebih ramai pemain.

“Sebelum saya main PUBG Mobile, saya memang ada main PUBG di PC sejak 2017 lagi. Tapi sebab nak cuba benda baru, saya main PUBG Mobile.

“Ada lagi banyak pertandingan dan ramai penonton. Lagipun, ia boleh diakses di mana-mana jadi saya tak mempunyai masalah untuk berlatih tanpa perlu berada di rumah,”

Sebagai pemain profesional di bawah Yoodo Gank, ManParang juga seorang streamer sepenuh masa yang mana beliau mempunyai jadual sendiri.

“Saya akan strim hanya pada waktu petang dan waktu malam pula digunakan untuk berlatih. Boleh dikatakan saya akan strim selama 3 jam sehari dan berlatih pula pada jam 9 malam hingga 11 malam,”

Katanya, bermain game ini boleh menjamin kewangan di mana e-sukan makin berkembang dan ia sedia peluang kepada anak muda menggilap bakat.

“Nasihat saya, apabila kita minat sesuatu, buat betul-betul. Jangan fokus pada perkara lain sampai terpaksa.

“Pada masa sama, jangan korbankan pelajaran dan terus habiskan diploma atau degree dahulu.

“Kalau masuk pertandingan, kena banyak kaji pertandingan lain dan tengok macam mana pasukan profesional main. Disiplin juga kena jaga dan sentiasa sediakan jadual untuk memotivasikan diri sendiri,”

PUBG Mobile Club Open Malaysia Finals dianjurkan oleh VSPN dengan kerjasama Mineski Events Team (MET) Malaysia dan disokong oleh Tencent.

Bagi yang tak dapat usha livestream atau saksikan secara langsung di Quill City Mall hari ini, korang boleh ke Facebook PUBG Mobile  bagi menonton tayangan ulangan di sana.

Baca lanjut: Genexsus juara PUBG Mobile Club Open Malaysia Finals

Baca lanjut: Gadis ini handal main PUBG, layak ke kejohanan PUBG Mobile di China

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+