Ini cara meningkat kemahiran menembak di permainan mudah alih dengan Aim Champ

Kemahiran untuk membidik dan menembak adalah salah satu kemahiran teras yang setiap pemain perlu mahir untuk menjadi pemain yang disegani.

Lebih-lebih lagi semakin banyak permainan yang memerlukan pemain membidik dengan tepat seperti Free Fire, Call of Duty Mobile, PUBG Mobile, Fortnite dan lain lagi.

Tetapi, berbanding dengan di PC yang mempunyai aplikasi seperti Aim Lab dan Kovaaks untuk membantu pemain memperbaiki permainan mereka, pemain mudah alih mungkin tidak mengetahui bahawa mereka ada beberapa pilihan untuk melatih membidik dan menembak dengan tepat.

Aim Champ adalah sebuah aplikasi yang mirip seperti Aim Lab dan sungguh baik sekali untuk membantu pemain menajamkan bidikan mereka.

Selain itu, aplikasi ini juga terdapat profil-profil tertentu untuk permainan yang berbeza seperti PUBGM, COD, Fortnite dan lain lagi.

Seperti Aim Lab, permainan ini mempunyai pelbagai latihan untuk meningkatkan kemahiran anda di permainan mudah alih.

Ini antara mod yang boleh membantu anda memperbaiki bidikan anda.

Flicking – Grids

Mod Flicking Grids ini sesuai untuk memanaskan badan dalam membidik dengan pantas dan tepat.

Mod ini akan mencabar pemain dengan beberapa sasaran yang muncul secara rawak dalam susunan berbentuk grid.

Mod ini juga akan membantu pemain untuk mencari sensitiviti yang sesuai untuk kawalan sentuhan serta giroskop peranti pintar masing-masing.

Tracking – Strafe Track

Mod ini menguji kemahiran pemain untuk membidik serta mengikut sasaran dengan tepat dan konsisten.

Kemahiran ini berguna dalam permainan yang mengutamakan elemen pergerakan seperti Free Fire dan Fortnite, tetapi kemahiran ini berguna juga dalam permainan mudah alih yang lain.

Mod ini juga mampu menguji kemahiran menjejak sasaran menggunakan giroskop peranti pintar.

Ini bererti anda boleh memperhalusi tetapan kawalan giroskop dan kawalan sentuhan anda.

Precision – Micro

Mod ini menampilkan sasaran kecil yang muncul secara rawak untuk ditembak oleh pemain.

Mod ini lebih kurang mod Flicking – Grids di atas, tetapi cabarannya adalah sasaran yang amat kecil.

Mod ini akan membantu pemain mencari sasaran kecil atau sukar dilihat dan bertindak dengan pantas.

Situasi ini mungkin pemain akan jumpa dalam saat-saat seperti apabila musuh menyorok di sebalik bukit di PUBG Mobile.

Bots – Narrow Strafe

Mod Narrow Strafe menampilkan situasi pertempuran jarak rapat di mana pemain perlu menembak musuh jarak dekat yang bergerak secara rawak.

Kemahiran ini amat genting kerana pemain perlu menjejak sasaran yang akan bergerak kiri kanan serta atas bawah.

Akhir sekali, permainan ini menawarkan mod custom untuk latihan tersuai mengikut keperluan pemain.

Aplikasi ini boleh dimuat turun di peranti iOS dan Android, dan aplikasi ini tidak memakan ruang yang banyak, jadi ia sesuai untuk semua pemain mudah alih tidak mengira peranti.

RELATED NEWS

+