Isu Miss Farr: Emi mohon maaf

Pengulas PUBG Mobile dan juga duta Team Secret, Mohamad Hilmi Mohamad atau Emi membuat permohonan maaf di atas isu gangguan seksual Miss Farr yang tular baru-baru ini. 

Dalam video tular itu, Emi bertindak mengulang kembali soalan yang diutarakan oleh netizen di ruangan komen yang mana komen itu berbaur seksual dan tidak patut ditanyakan dan dijawab sama sekali.

Ia melibatkan maruah seorang wanita dan perkara ini perlu dititik beratkan oleh sesiapa sahaja yang berada di dalam industri.

“Saya sudah meminta maaf kepada Miss Farr secara peribadi atas kesilapan ini dan dia juga menyatakan yang dia memaafkan saya. Terima kasih kepada Miss Farr kerana menerima permohonan maaf saya,” ujar Emi.

Terdahulu, tular satu video dikendalikan oleh penganalisis SEM9.Gank, Fawwaz Sehaimi (Soultan) dalam satu sesi Discord dan juga membabitkan beberapa personaliti e-sukan tanah air termasuk pemain profesional Team SMG, Mohamad Nazeri Shahrin Affan (Trixnity) dan pengulas, Emi Mohamad.

Dalam video tular itu, terdapat umpatan dan komen berbaur seksual yang ditujukan kepada Miss Farr.

Sebelum ini, Miss Far adalah rakan sepasukan Trixnity dalam skuad Junior Talent PUBG Mobile dan mereka pernah bertanding di liga profesional (PMCO) di Shanghai, China untuk lima minggu.

Sekali lagi penulis ingin mengingatkan, gangguan seksual adalah perbuatan yang tidak mendatangkan kebaikan kepada masyarakat dan anda hanya akan dilabel sebagai lelaki yang tidak mempunyai nilai murni di mata orang lain.

Persekitaran komuniti yang sihat boleh memberikan ruang kepada para wanita untuk menceburi bidang penstriman secara atas talian.

RELATED NEWS

+