Isu Miss Farr: Trixnity dikeluarkan dari barisan utama, Team SMG keluarkan kenyataan

Gara-gara isu tular baru-baru ini tentang gangguan seksual yang dialami oleh NorFarah Shahira (Miss Farr) di dalam penstriman langsung sesi perbualan PMPL di Discord, ada di antara pengulas, pemain, pengurus menyokong komen yang merendahkan maruah beliau sebagai seorang wanita.

Berikutan itu, bekas rakan sepasukannya di Junior Talent dulu, Mohamad Nazeri Shahrin atau Trixnity membuat permohonan maaf.

Bagaimanapun, Team SMG juga sudah mengambil tindakan ini dengan mengeluarkan Trixnity daripada barisan pemain utama sehingga tempoh diberitahu kelak.

Tambahan, mereka juga mengenakan tiga bulan potongan gaji sebagai hukuman.

Tulis SMG juga tentang isu gangguan seksual ini, “Selain itu, seluruh ahli pasukan PUBG Mobile kami akan diharamkan daripada menyertai podcast pada masa akan datang bagi memberikan pengajaran kepada mereka yang lain” ujar pihak pengurusan Team SMG.

Ternyata isu ini amat dipandang berat oleh pasukan profesional e-sukan tanah air, ia bukan sahaja melibatkan individu semata-mata akan tetapi perkara ini akan menghancurkan imej pasukan pemain itu sendiri.

Diharap perkara ini tidak akan diulangi lagi oleh mereka yang lain dan menjadi pengajaran buat semua bahawa gangguan seksual itu tidak boleh diambil ringan dan bukan menjadi bahan jenaka untuk dibualkan sesama kita.

Terdahulu, tular satu video dikendalikan oleh penganalisis SEM9.Gank, Fawwaz Sehaimi (Soultan) dalam satu sesi Discord dan juga membabitkan beberapa personaliti e-sukan tanah air termasuk pemain profesional Team SMG, Mohamad Nazeri Shahrin Affan (Trixnity) dan pengulas, Emi Mohamad.

Dalam video tular itu, terdapat umpatan dan komen berbaur seksual yang ditujukan kepada Miss Farr.

Sebelum ini, Miss Far adalah rakan sepasukan Trixnity dalam skuad Junior Talent PUBG Mobile dan mereka pernah bertanding di liga profesional (PMCO) di Shanghai, China untuk lima minggu.

RELATED NEWS

+