Jom Kenali Atlet E-Sukan Yang Mewakili Negara Di Pentas Dunia

E-sukan sudah menjadi satu platform bagi anak muda menonjolkan bakat malah menjadikannya satu karier untuk dibawa ke peringkat lebih tinggi, contohnya bertanding dalam kejohanan-kejohanan besar di peringkat antarabangsa. Di Malaysia, kita tidak ketinggalan kerana sepanjang industri e-sukan bertapak, kita sudah mempunyai beberapa pemain yang mampu memberi saingan kepada bakat-bakat luar negara.

Penulis yakin anda yang ingin menceburi bidang sama pastinya menganggap atlet negara ini sebagai idola dalam industri. Sempena Hari Kemerdekaan Ke-62 ini, mari kita lihat sumbangan ataupun pencapaian mereka di pentas dunia.

 

1. Yap Jian Wei (xNova)

Pemain muda berusia 21 tahun ini mengharungi pelbagai rintangan sebelum berjaya ke tahap yang sekarang ini. Sebelum bersama PSG.LGD, beliau terlebih dulu memulakan kariernya di bawah Lowyat E-Sport bersama Adam “343” Erwann Shah.

xNova juga pernah menyertai skuad tempatan, Warriors Gaming Unity sebagai posisi pembantu (support) namun kejayaannya bersama pasukan itu tak berkekalan sehinggalah apabila dilamar PSG.LGD pada awal tahun lalu.

Sejak bermain bersama skuad China itu, xNova menunjukkan pemain Malaysia juga berbakat dan tiada tandingannya walau di bawah pasukan luar negara. Mereka pernah memenangi Epicenter XL dan MDL Changsha Major. Pencapaian terbaik mereka adalah tempat kedua di The International 2018 dan baru-baru ini tempat ketiga di The International 2019.

Dalam satu temubual sebelum TI9 bermula, xNova turut dilihat tepat apabila mengatakan pasukan China lain sangat stagnant kecuali Vici Gaming. Pasukan itu mendapat top 6 pada minggu lepas.

 

2. Luqman Haziq (Fenrir)

Luqman “Fenrir” Haziq antara pemain muda berbakat yang dikenali dalam industri FIFA di Malaysia. Di FUT Champions Cup awal Januari, dia adalah pemain Malaysia pertama yang layak sekali gus mencetuskan fenomena tersendiri pada usia 22 tahun.

Fenrir juga seorang yang tak mengabaikan pelajaran kerana sepanjang penglibatannya dalam industri e-sukan, dia pandai membahagikan masa untuk ulangkaji dan berlatih sebelum menyertai pertandingan.

Pemain kompetitif e-sukan ini mengambil jurusan kewangan di Universiti Malaya.

Sepanjang berada dalam arena kompetitif, Fenrir menjuarai beberapa kejohanan ternama antaranya Selangor Cyber Games 2019 dan Malaysian Esports League 2018.

 

3. Ramona Azween (GFi#)

Namanya tidak asing lagi dalam arena kompetitif Counter Strike: Global Offensive (CSGO) wanita. Sebut saja Ramona Azween, terbayang kelibat gadis ayu berbakat ini yang sudah 15 tahun dalam industri. Tidak seperti gadis lain, Ramona memilih hala tuju menjadi pemain kompetitif dan mengisi masa lapangnya bermain game.

Menerusi kariernya, Ramona pernah menyertai pasukan Orange Esports dan bersama Sphynx.MY menjuarai pusingan kelayakan Malaysia bagi Permainan Sukan Elektronik Dunia (WESG). Malah, kejayaannya terus bertambah bersama ahli pasukannya, Aisya Sabrina Sabri (Argent), Shanice Choo Xin Ru (Alaska), Jasmine Christina Sim Huiyan (Jazminism) dan Iffah Nazurah Saidi (3ve) di kejohanan Asia CS:GO Wanita, Zowie Divina di Shanghai, China.

Mereka kemudiannya mewakili negara di pentas dunia, Dreamhack Valencia pada 5 hingga 7 Julai lalu. Biarpun terkandas di pusingan awal, pasukan ini sudah membuktikan nama Malaysia patut disegani dalam arena kompetitif CS:GO wanita.

 

4. Yeik Nai Zheng (MidOne) 

Tuah bermain dalam kejohanan Mountain Dew tak lama dulu membuka lembaran baru bagi perjalanan karier Yeik Nai Zheng atau MidOne. Namanya kini terus meniti di bibir peminat sebagai salah seorang pemain Dota 2 terunggul negara. Sebelum bersama Secret (pasukannya kini), perjalanan MidOne terlebih dulu dikenali menerusi bakatnya dalam pasukan Fnatic.

Dilamar oleh lagenda Dota 2 negara, Mushi, MidOne kerap kali menghadiri kejohanan negara dan dia membantu skuad Asia Tenggara itu mendaki tangga keempat di The International 2016 namun pencapaian terbaiknya adalah bersama skuad Eropah, Team Secret. Ketika menyertai pasukan itu, MidOne bermain sebagai posisi satu dan memenangi kira-kira 5 kejohanan Major dan mendapat placing ke-5 di The International 8 dan di tempat keempat untuk The International 2019.

Handal menggunakan hero Invoker dan Ember Spirit, MidOne terkenal dengan flashy plays di kejohanan ternama Dota 2.

 

5. ViP Squad, Junior Talent, AROV Esports, Yoodo Gank Dan Team Secret

Kelima-lima pasukan kompetitif PUBG Mobile ini sememangnya dikenali dalam kalangan komuniti. Mereka sebelum ini mewakili negara di Liga Asia Tenggara PUBG Mobile Club Open (PMCO) Musim Bunga di mana mereka bertarung selama 6 minggu untuk merebut slot ke final di Jakarta, Indonesia.

Yoodo Gank, AROV, ViP Squad dan Team Secret masing-masing berjaya mara ke final dan mereka bertarung bersama pasukan-pasukan lain yang layak dari musim liga. Saingan dari Thailand, Myanmar, Indonesia, Vietnam dan Filipina nyata tidak menggugat pasukan Malaysia terutamanya Team Secret yang layak mendapat placing untuk ke global final.

Biarpun terkandas di Berlin, Jerman untuk kejohanan penutup, namun Team Secret membuktikan mereka bukan calang-calang untuk ke tahap itu.

Artikel berkaitan: Jom kenali lima skuad PUBG Mobile Malaysia yang layak ke PMCO

Foto diperoleh dari pelbagai sumber: Google, Liquipedia dan Facebook

RELATED NEWS

+