Jom Main Arena of Valor!

Permainan mudah alih kian mendominasi pasaran rantau Asia Tenggara khususnya Malaysia berikutan konsep dan mekanisme yang mudah difahami selain boleh dimainkan di peranti pintar sepenuhnya.

Arena of Valor yang dibangunkan oleh Tencent Games dan diterbitkan secara rasmi oleh Garena di pasaran Malaysia, Filipina dan Singapura kini mencecah lebih 500,000 muat turun di Playstore dan Appstore. Ini menunjukkan permainan ini sudah lama ditunggu-tunggu oleh peminat khususnya pemain Mobile Legends yang ingin mencuba sesuatu yang baru.

Sebaik saja memasuki skrin login, penulis sudah pun tertarik dengan paparan karakter dari komik DC iaitu Wonder Woman, Batman dan Superman. Mungkin Garena bercadang untuk mengeluarkan patch yang menampilkan karakter ini seiring dengan tayangan filem Justice League pada November depan.

Memilih server Valiant, antara satu-satunya server buat masa ini, penulis terus dikejarkan di mod tutorial yang perlu dilengkapkan terlebih dulu. Jujur penulis katakan, grafiknya sangat memukau dan ia menyokong fungsi multiple touch dan sangat optimised untuk peranti pintar.

Terdapat tab yang biasa dilihat seperti Store, Armory, Arcana (ibarat sistem Rune dalam League of Legends) dan juga Guild.

Apa yang menariknya, Garena turut menawarkan beberapa hero percuma yang boleh didapatkan menerusi quest yang perlu diselesaikan bersama rakan-rakan. Sebagai contoh, penulis sudah pun berjaya mendapatkan hero Butterfly selepas memenangi 10 perlawanan casual bersama rakan.

ANTARA karakter yang boleh dimainkan. FOTO: Garena Malaysia

Skin juga boleh didapatkan secara percuma. Korang hanya perlu memenangi perlawanan Ranked dan menepati quota kemenangan yang diberikan. Skin Alice misalnya boleh didapatkan percuma selepas 50 kemenangan di mod Ranked.

Penulis turut tertarik dengan 6 mod yang ditawarkan. Walaupun masih belum mencuba hook wars, ia boleh dikatakan hampir sama dengan Pudge Wars di mod Warcraft 3 dulu. Terdapat juga mid wars dan perlawanan satu lawan satu bagi mereka yang dahagakan pencapaian untuk mempamerkan kehebatan bermain satu-satu hero.

Mod ranked adalah yang paling dicari-dicari kerana bagi penulis, rata-rata pemain ingin mencabar diri mereka memburu kedudukan tertinggi dalam arena. Bermula dari peringkat bawah iaitu Bronze hinggalah ke Master.

GAMEPLAY yang mudah dan seronok! FOTO: Garena Malaysia

Pada mulanya penulis mencuba hero Valhein dan terus tertarik dengan set kuasanya yang mudah difahami. Sejujurnya, penulis menyukai sokongan fungsi multi touch kerana sebagai Valhein, kekuatan utama hero ini ialah shoot and run. Fungsi itu memudahkan penulis untuk berbuat begitu.

Tidak ketinggalan, rakan penulis dari Facebook yang sentiasa bersedia untuk main bersama jika diperlukan. Boleh dikatakan sesi permainan bersama rakan lebih seronok kerana faktor komunikasi dan persefahaman lebih lancar. Bagaimanapun, penulis berharap Garena akan menyediakan fungsi voice chat tidak lama lagi. Lagi best apa!

Sepanjang beberapa hari bermain, penulis berjaya menduduki ranking Gold IV dan mempunyai lebih hampir 25 hero. Tindakan Garena menyediakan tugasan bagi mendapatkan hero percuma dan diskaun ke atas hero di store harus dipuji.

Kesimpulannya, penulis menikmati permainan mudah alih ini kerana grafiknya yang memukau, hero dengan latar belakang tersendiri dan mod-mod menarik yang ditawarkan. Syabas Garena! Tak sabar pula untuk main Batman dan hero DC yang lain!

RELATED NEWS

+