Jualan The Game Awards kini dilancarkan di Steam, ini permainan yang patut anda cuba

The Game Awards 2021 adalah sebuah rancangan anugerah yang akan memberi penghormatan kepada permainan video terbaik tahun ini.

Acara ini bukan sahaja memberi penghormatan kepada permainan, tetapi juga mengangkat taraf industi permainan video dengan anugerah-anugerah seperti Permainan Indie Terbaik, Inovasi dalam Kebolehcapaian, Atlet E-Sukan Terbaik dan banyak lagi. Anda boleh melihat semua kategori anugerah di sini.

Steam juga kini mengambil inisiatif untuk menjalankan jualan The Game Awards yang menurunkan harga permainan-permainan yang dicalonkan untuk penganugerahan di The Games Awards yang bakal berlangsung pada jam 8.30 pagi, 10 Disember waktu Malaysia.

Ini beberapa cadangan permainan terpilih berserta anugerah yang dinobatkan yang anda boleh dapatkan pada harga yang lebih murah daripada biasa.

Before Your Eyes – Anugerah Permainan untuk Kesan

Before Your Eyes membawa pemain melalui jalan kehidupan seorang watak. Permainan ini tidak menggunakan pergerakan konvensional, tetapi ia menggunakan webcam anda untuk menggerakkan watak anda dari tahap kehidupan yang berbeza, bermula dari kanak-kanak sehingga nafas terakhir.

Permainan ini menunjukkan betapa pendeknya hidup ini jika kita tidak memberi perhatian kepada perkara yang bermakna.

Ini salah satu permainan yang paling inovatif setakat ini dan tidak memerlukan anda untuk mempunyai PC yang gagah. Anda hanya perlu mempunyai sebuah PC yang dilengkapi sebuah webcam. Dapatkan permainan ini pada harga RM12 di Steam. 

Cyberpunk 2077 – Anugerah Permainan Role Playing Terbaik

Cyberpunk 2077 dikenali di seluruh dunia sebagai permainan yang gagal sewaktu pelancaran kerana dibelenggu masalah pepijat yang amat banyak. Namun, selepas lebih setahun permainan itu dilancarkan, kita dapat menikmati salah satu permainan dunia terbuka yang cantik sekali.

Permainan ini juga amat berbaloi jika anda mempunyai kad grafik Nvidia RTX untuk menggunakan ciri ray-tracing nya.

Permainan ini boleh didapati dengan harga RM RM110 di Steam.

Back 4 Blood – Anugerah Permainan Multiplayer Terbaik, Permainan Aksi Terbaik

Back 4 Blood adalah permainan berbilang pemain yang seakan-akan siri Left 4 Dead di mana 4 orang pemain akan bertempur melawan ratusan mayat hidup demi menyelesaikan misi.

Tetapi perbezaan yang paling ketara daripada permainan Back 4 Blood adalah fokusnya terhadap elemen berbilang pemain yang menjadikan permainan ini amat seronok apabila dimainkan bersama rakan-rakan.

Jika anda suka bermain Left 4 Dead di kafe siber zaman dahulu, maka permainan ini harus dicuba oleh anda dan rakan-rakan anda.

Back 4 Blood kini bernilai RM144 di Steam.

Deathloop – Game of The Year + beberapa anugerah lain

Antara permainan yang terbaik tahun ini, Deathloop mempunyai konsep permainan yang unik: Anda bermain sebagai Colt yang terperangkap dalam sebuah gelung masa. Satu cara untuk memutuskan perangkap gelung masa ini adalah untuk membunuh 8 orang ketua.

Jika anda gagal membunuh 8 orang ini atau anda ditewaskan, anda akan diletakkan pada permulaan hari yang sama. Oleh itu ia digelar sebagai Deathloop. Anda juga boleh bermain sebagai Julianna, seorang ajen yang bertanggungjawab untuk memelihara gelung masa itu dan menewaskan Colt.

Permainan ini berharga RM126 di Steam buat masa ini, dan permainan ini menerima respons yang amat positif dari pemain dan kritik seluruh dunia.

It Takes Two – Game of The Year + beberapa anugerah lain

Satu lagi calon anugerah paling bernilai tahun ini, It Takes Two adalah permainan berbilang pemain yang anda boleh mainkan bersama seorang rakan dalam menyelesaikan misi dalam menyatukan sepasangan ibu bapa yang ingin bercerai.

Permainan ini menggabungkan penceritaan mantap bersama elemen berkerjasama dengan baik sekali. Grafik permainan ini juga antara grafik yang terbaik sekali dalam mana-mana permainan dalam senarai ini.

Yang terbaik sekali, anda tidak perlu membeli dua permainan ini untuk bermain bersama. Hanya seorang sahaja perlu beli, dan seorang lagi hanya perlu memuat turun Friend Pass yang membenarkan anda bermain bersama rakan anda yang membeli permainan itu

Ini salah satu permainan yang terbaik untuk dimainkan bersama rakan, keluarga, malah bersama pasangan anda. Jadi, dapatkannya sekarang di Steam dengan harga RM99, atau dapatkannya melalui langganan EA Play. 

Ini antara permainan yang dicadangkan untuk anda cuba. Lebih lagi kerana permainan ini dinobatkan untuk anugerah-anugerah tertentu. Anda boleh melihat senarai permainan dan anugerah di sini. Jangan ketinggalan, jualan ini hanya berlangsung sehingga 14 Disember.

Majlis The Game Awards pula akan berlangsung pada jam 8.30 pagi, 10 Disember waktu Malaysia.

RELATED NEWS

+