“Kami masih mencari ‘jungler’ yang sesuai untuk MAB,” – Abang Lord

Pusingan kelayakan MPL MY musim ke-10 akan bermula tidak lama lagi. Dua pasukan yang berjaya mara ke peringkat akhir akan mengisi slot di peringkat liga.

Banyak persiapan yang perlu dilakukan, setiap pasukan pasti akan memberikan usaha terbaik mereka untuk memenangi pusingan kelayakan ini. Pasukan MAB Esports dan Geek Fam MY pastinya akan memberikan cabaran kepada wajah-wajah baru di pusingan kelayakan.

Kami sempat menemu bual pengurus MAB Esports iaitu Abang Lord tentang persiapan pasukan MAB untuk pusingan kelayakan. Abang Lord berkata persiapan masih belum siap sepenuhnya.

“Kami belum bersedia sepenuhnya, masih lagi mencari jungler yang sesuai. Namun, kami sedang di dalam fasa terakhir untuk menentukan pemain dari hasil keputusan tryout,” katanya kepada MyGameOn.

Abang Lord juga menyatakan terdapat beberapa bekas pemain MPL dan juga daripada Semi Profesional sedang diuji untuk posisi jungler.

“Beberapa jungler daripada bekas pemain MPL dan juga pasukan Semi Profesional sedang diuji. Minggu ini wajib untuk kami tentukan siapakah yang akan bermain mewakili MAB di pusingan kelayakan nanti,” tambahnya.

Selain dari itu, Abang Lord juga turut mendedahkan barisan pemain yang sudah bersedia untuk pusingan kelayakan.

“Pemain yang sah akan bermain adalah Novaxcobar, Zakqt dan juga Xslash. Tiga pemain ini dikekalkan dari musim ke-9. Bekas pemain Suhaz Esports iaitu D’Ace dan Eavy juga akan menyertai barisan pemain ini,” ucap Abang Lord.

MAB Esports dan juga pasukan Geek Fam turut mendapat slot jemputan ke lapan teratas peringkat kelayakan MPL MY musim ke-10. 

Adakah kita akan melihat pasukan MAB Esports sekali lagi berjaya lolos ke peringkat liga untuk musim kali ini? Kita bakal saksikan.

RELATED NEWS

+