Hari ini, Tencent mengadakan sidang media dan berkongsi mengenai pelan mereka untuk Honor of Kings (HOK) di rantau Asia Tenggara.
Dalam satu kenyataan, Pengarah Honor of Kings Asia Tenggara bahagian Penerbitan dan E-Sukan, Level Infinite, John Zhang berkata mereka ingin ‘bergerak laju’ dalam penubuhan ekosistem e-sukan untuk HOK kerana tidak mahu ketinggalan dengan pesaing lain.
“Kami sedang bergerak laju. Dengan pelancaran global, kejohanan e-sukan dari peringkat akar umbi hinggalah profesional, ianya kerana di sini (Asia Tenggara) mempunyai ramai gamers dan penembusan pasaran bagi permainan mudah alih adalah tinggi.
“Liga pro diwujudkan untuk pemain menikmati ekosistem di Asia Tenggara. Malah kami juga menjemput pempengaruh untuk memperkenalkan HOK kepada orang ramai. Lihat saja Brazil. Baru dua tahun tapi pasukan mereka sudah sangat kuat.
“Jika kami tidak ‘laju’ dalam penubuhan ekosistem e-sukan, kami bakal ketinggalan mengejar pesaing lain. Kami juga sudah berpengalaman mengendali ‘mobile esports’ dan terdapat peningkatan ketara dari segi jumlah tontonan e-sukan HOK,” katanya.
Sejak dilancarkan pada 20 Jun, HOK sudah pun memperkenalkan banyak inisiatif e-sukan antaranya HOK Invitational S2 yang mengumpulkan pasukan terhebat dari MENA, Asia Tenggara, LATAM dan lain-lain rantau.
Dengan hadiah wang tunai terkumpul RM1.4 juta (AS$300 ribu), ia menunjukkan komitmen Tencent untuk kekal bersaing dalam industri e-sukan ini di samping menyediakan platform kepada lebih ramai atlet bertanding terutamanya di Malaysia yang sudah lama menantikan keluarnya versi global.
Di samping itu, Tencent juga akan memfokuskan kepada Mid Season Invitational x Esports World Cup yang akan bermula Ogos ini. Ia menjadi satu penanda aras bagi kemampuan pasukan Malaysia iaitu LGD Gaming MY dan Team Secret menunjukkan potensi pasukan Malaysia di persada antarabangsa.