Antara game yang dinanti-nantikan, Kingdom Hearts III adalah sekuel paling ditunggu-tunggu sejak 14 tahun lalu sudah pun dilancarkan secara rasmi!
Kingdom Hearts III termasuk dalam siri role-playing game (RPG) terkenal yang dibangunkan oleh Square Enix. Game ini akan memberikan kesimpulan (harap-haraplah) kepada lipatan perjalanan Sora bersama Donald Duck, Goofy dan karakter kegemaran peminat yang lain dalam mencabar kejahatan Organization XIII dan membendung Heartless dari memamah dunia Kingdom Hearts.
Siri Kingdom Hearts turut dikenali sebagai francais yang agak susah diikuti kerana mempunyai jalan cerita mikro yang diselitkan dan dipecahkan ke dalam beberapa game dikeluarkan untuk pelbagai platform sepanjang 16 tahun ini.
Jadi, bolehkah pemain baru menikmati Kingdom Hearts III tanpa mengikuti game sebelum ini? Kami menjawab persoalan ini dan banyak lagi perkara korang perlu tahu tentang Kingdom Hearts III di bawah!
Apa itu Kingdom Hearts III?
Kingdom Hearts III adalah game terbaru dalam siri Kingdom Hearts sejak diperkenalkan pada 2002 di PlayStation 2. Dibangunkan oleh Square Enix dan dari pengarah, Tetsuya Nomura, Kingdom Hearts merupakan siri aksi RPG yang menggabungkan dua francais popular iaitu Square Enix (khususnya Final Fantasy) dan Disney.
Game ini memfokuskan perjalanan Sora bersama Donald Duck dan Goofy mengembara ke pelbagai dunia dan menemui watak kegemaran peminat dari game Final Fantasy dan filem Disney yang dihidupkan kembali dalam siri game ini seperti Hercules, Aladdin, Mulan dan menentang musuh-musuh seperti Scar (The Lion King) dan Sephiroth (Final Fantasy 7).
Boleh ke main dan terjun terus ke Kingdom Hearts III?
Sebelum ini, kami pernah menyatakan siri Kingdom Hearts mendapat nama ‘francais paling susah untuk diikuti’ kerana mempunyai penceritaan dan garis masa yang kompleks bergantung kepada karakter.
Namun, korang boleh sahaja terus main Kingdom Hearts III tanpa ada masalah. Ini adalah kerana Square Enix sudah menyediakan satu sedutan khas dalam seksyen ‘Memory Archive’ untuk pemain baru Kingdom Hearts dan peminat veteran untuk mengingati kembali perjalanan cerita sehingga ke game terbaru ini. Dalam game juga, terdapat banyak teks dan dokumen berserakan yang boleh membantu korang untuk memahami plot, karakter utama dan bagaimana semua ini berlaku sampai ke Kingdom Hearts III.
Apa yang menarik tentang Kingdom Hearts III?
Cara permainan dalam Kingdom Hearts III tidaklah berbeza sangat dengan Kingdom Hearts II dan game sebelum ini tetapi skala game baru ini akan jadi lebih besar. Kini, pemain boleh mengambil lima karakter dalam satu parti serentak dengan dua karakter tambahan mengikuti tiga sekawan (Sora, Donald dan Goofy). Cara combat mengikut Kingdom Hearts II iaitu boleh memanggil kawannya terdiri daripada karakter Disney terkenal seperti Wreck-It-Ralph & Ariel (The Little Mermaid) dan melancarkan kombinasi serangan khas dan pergerakan khas.
Yang paling menarik adalah Kingdom Hearts III menampilkan kebolehan combat baru iaitu membolehkan Sora membuat serangan kritikal ke musuh berdasarkan tarikan tunggangan Disneyland seperti Splash Mountain dan naik cawan teh daripada Mad Tea Party (Alice in Wonderland). Senjata terulung Sora, Keyblade boleh bertukar-tukar yang mempunyai keunikan tersendiri bersama serangan baru yang boleh digunakan dalam combat berbeza dengan Kingdom Hearts II yang hanya mengumpul keyblade khas yang diinspirasikan oleh filem klasik Disney dan game klasik Final Fantasy.
Seperti biasa, Kingdom Hearts III akan memberikan pengembaraan ke pelbagai dunia bertemakan Disney & Final Fantasy yang korang boleh terokai dan berjumpa dengan karakter ikonik sepanjang game ini. Berikut adalah dunia (yang kita tahu setakat ini) bakal menemui pemain:
- Arendalle (Frozen)
- Twilight Town (Kingdom Hearts)
- Kingdom of Corona (Tangled)
- Olympus Coliseum (Hercules)
- The Caribbean (Pirates of the Caribbean 3)
- San Fransokyo (Big Hero 6)
- Monstropolis (Monsters Inc.)
- Toy Box (Toy Story)
- Hundred Acre Wood (Winnie the Pooh)
Di mana terletaknya Kingdom Hearts III dalam garis masa?
Mengikut kronologi masa, Kingdom Hearts III terletak di bahagian garis masa paling baru dalam siri ini. Sejujurnya, korang boleh fokus kepada game yang bernombor dalam francais ini iaitu Kingdom Hearts I & Kingdom Hearts II untuk memahami kisah penuh Sora dan rakan-rakan.
Walaubagaimanapun, ada beberapa game yang mengisi lopong-lopong plot atau memberi sedikit cerita latar belakang kepada karakter utama. Sebagai contoh, Kingdom Hearts Union X Cross dilancarkan di mobile dan pelayar Internet yang mengisahkan lebih lanjut tentang Keyblade War. Selain itu, Birth By Sleep dan Dream Drop Distance memperkenalkan pemain kepada pelbagai karakter dan cerita sampingan penting seperti Axel, Roxas, Xion, Xehanort dan ramai lagi yang menyumbang kepada plot utama dalam penceritaan Kingdom Hearts III. Fuh, tajuk game pun unik dan berbelit-belit.
Berikut adalah senarai semua game Kingdom Hearts dalam garis masa teratur seperti gambar di atas:
- Kingdom Hearts: Union X [Cross]
- Kingdom Hearts: Birth By Sleep
- Kingdom Hearts 1.5 (Final Mix)
- Kingdom Hearts: 358/2 Days
- Kingdom Hearts: Chain of Memories
- Kingdom Hearts 2.5 (Final Mix)
- Kingdom Hearts Re:Coded
- Kingdom Hearts: Dream Drop Distance
- Kingdom Hearts III
Kalau korang teringin sangat nak main dan tahu apa yang menarik dalam game sebelum Kingdom Hearts III, Square Enix memudahkan pemain baru untuk lawati francais ini dengan membuat koleksi. Korang boleh dapatkan Kingdom Hearts: The Story So Far iaitu terdiri daripada Kingdom Hearts HD 1.5 + 2.5 Remix (mempunyai Kingdom Hearts I & Kingdom Hearts II dalam definisi tinggi) dan 2.8 Final Prologue (mempunyai Dream Drop Distance dan Kingdom Hearts χ Back Cover dalam versi HD remastered) untuk PlayStation 4.
Adakah Kingdom Hearts III bakal tiba di PC?
Buat masa sekarang, Kingdom Hearts III kini dilancarkan di PS4 dan Xbox One. Square Enix tidak memberi apa-apa berita tentang pelancaran game ini di PC.
Kalau korang masih sangsi untuk beli Kingdom Hearts III, nantikan review daripada MyGameOn tentang Kingdom Hearts III! Sambil menunggu itu, korang boleh saksikan terlebih dahulu trailer keseluruhan gameplay di bawah:
Ikuti MyGameOn di Facebook dan YouTube untuk berita gaming dan esports semasa!