Pengumuman yang dinanti-nantikan oleh para peminat siri Nioh kini telah tiba. Team Ninja telah mengesahkan bahawa Nioh dan Nioh 2 akan dilancarkan di PlayStation 5 dan PC pada tahun depan. Walaubagaimanapun, versi-versi yang akan dilancarkan sedikit mengelirukan. Oleh itu, jom baca artikel ini untuk faham apa yang disampaikan oleh studio tersebut.
Semua permainan yang disenaraikan dalam artikel ini akan dilancarkan pada tarikh yang sama iaitu 5 Februari 2021.
Pemain PC hanya akan menerima satu permainan baharu iaitu Nioh 2 – The Complete Edition. Permainan ini juga akan dilancarkan untuk PlayStation 4. Ia merupakan versi lengkap Nioh 2 yang mengandungi kesemua tiga kandungan tambahan (DLC) termasuk DLC terakhir iaitu The First Samurai yang akan dilancarkan pada 17 Disember ini.
Pemilik konsol baharu PS5 merupakan anak emas dalam hal ini kerana mereka akan menerima tiga permainan berbeza iaitu Nioh Remastered – The Complete Edition, Nioh 2 Remastered – The Complete Edition, dan The Nioh Collection.
Nioh Remastered – The Complete Edition merupakan versi lengkap permainan Nioh pertama yang diberikan penambahbaikkan grafik untuk PS5. Nioh 2 Remastered – The Complete Edition pula sama seperti judul yang akan dilancarkan untuk PC dan PS4, cuma ia diberi penambahbaikkan grafik untuk PS5.
Untuk anda yang mahu pengalaman lengkap bermain Nioh, anda patut membeli The Nioh Collection. Ia mengandungi kedua-dua permainan remastered yang disenaraikan di atas. Jika anda sudah memiliki permainan Nioh 2 di PS4 anda, anda akan menerima naik taraf percuma ke versi PS5 apabila anda berpindah ke konsol baharu tersebut.
Sumber: PlayStation Blog
Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.