Selepas kemenangan ke atas pasukan Loops dari Brazil, LGD Gaming MY berjaya meneruskan misi mereka merebut hadiah wang tunai terkumpul AS$300,000 (RM1.4 juta) dengan melayakkan diri ke grand final Honor of Kings Invitational S2 yang dianjurkan di Sunway Velocity Mall, Kuala Lumpur.
LGD Gaming MY dan Team Secret bagaimanapun sudah layak ke Esports World Cup (eWC) di Riyadh, Saudi selepas menjadi top 8 di peringkat playoffs ini.
Pada game pertama, mereka digasak berulang kali pada minit awal permainan apabila hero musuh, Jing bermain dengan agresif dan berjaya invade jungle lalu menyekat MusangKing dari mendapatkan level dengan cepat.
Di game kedua juga, dilihat LGD Gaming MY mendapatkan momentum penuh dan tidak takut dengan gameplay pasukan Brazil.
Keadaan bagaimanapun berubah selepas LGD bermain sehingga ke fasa mid game di mana teamfight mereka lebih kuat dengan adanya Yuhuan dan Lian Po yang mengemudi di front line lalu memberikan ruang kepada JR bermain farm lane, Lady Sun menyerang dengan mudah.
LGD juga berjaya mendapatkan Tyrant berulang kali dan seterusnya memenangi teamfight paling penting di akhir perlawanan.
Di game ketiga, LGD berjaya mendominasi keseluruhan perlawanan dan pasukan Brazil tidak berjaya mengatasi strategi mereka. Dengan ini, mereka menjadi finalis pertama Malaysia untuk grand final HOK Invitational S2.
HOK Invitational S2 dianjurkan di Sunway Velocity Mall, Kuala Lumpur dari 29 Jun hingga 7 Julai, mengumpulkan 13 pasukan HOK terhebat dari Asia Tenggara, MENA, Turki, Amerika Latin dan Eropah. Ia adalah kejohanan yang melayakkan peserta ke eWC yang akan bermula pada Ogos ini.
eWC pula akan mengumpulkan pasukan terbaik dari China yang merangkumi pemain-pemain All-Star (KPL Dream Team) dan 11 pasukan lain. Sebanyak AS$3 juta (RM14 juta) dijadikan hadiah wang tunai terkumpul dan dua pasukan teratas akan ke kejohanan dunia Honor of Kings (KIC) pada bulan Oktober.