M1: “Kami Hanya Sasar Gelaran Juara, Akan Cuba Yang Terbaik,” – Todak

Saingan berdepan skuad yang boleh dikatakan antara yang terhebat di serata Asia Tenggara iaitu RRQ, sedikit sebanyak meniup rasa gementar namun mencabar mental skuad negara, Todak di pusingan upper bracket Kejohanan Dunia Mobile Legends: Bang Bang, M1 bermula 15 November esok di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Todak diwakili oleh pemain-pemain berbakat negara iaitu, Lychee, Ciku, Moon, Nenas, Eone dan Xray.

Pengurusnya, Mohd Syazlan Mohd Rosdi atau Ashi berkata, pemain Todak sudah bersedia menyahut cabaran itu.

“Semestinya kami ingin menewaskan RRQ. Sebagai tuan rumah, kami membawa harapan rakyat Malaysia untuk muncul juara sulung bagi kejohanan dunia ini,” kata Ashi.

Umum mengetahui terdapat pemain Todak yang pertama kali menyertai pentas berprestij seperti MPL seperti Moon, Ciku dan Lychee tapi segala persiapan mental sudah dilakukan.

“Tekanan dan gugup di atas pentas itu pasti akan ada tapi apa yang kami cuba lakukan ialah memberi segala info/data musuh agar mereka tahu apa yang perlu dilakukan.

“Jadi sedikit sebanyak boleh kurangkan tekanan dan rasa gugup itu,” kata Ashi.

Pengurus Todak ini juga beranggapan corak permainan pasukannya lebih matang berbanding sebelum ini.

“Semestinya kerana latihan berterusan dan setiap satunya memberikan keputusan berbeza jadi pemain dapat belajar dari kesilapan dan cuba yang lebih baik dari situ.

“Kami hanya sasarkan gelaran juara, jadi kami akan buat sehabis baik untuk mendapatkannya,” kata Ashi.

Kejohanan Dunia M1 mengumpulkan 16 pasukan terbaik Mobile Legends di serata dunia merebut hadiah wang tunai terkumpul RM1 juta. Peringkat kumpulan sudah dimulakan sejak Isnin dan acara utama akan berlangsung esok hingga Ahad di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Di kumpulan A, RRQ (Indonesia) dan Vec Fantasy Main (Vietnam) layak ke playoff diikuti skuad negara, Axis Esports dan Burmese Ghouls (Myanmar) di kumpulan B.

Bagi kumpulan C semalam, Todak cemerlang dalam kumpulan C dan layak ke playoff bersama skuad Filipina, Sunsparks.

(Foto: Todak Official)

RELATED NEWS

+