M1: Todak Dan Axis Akan Mula Bertarung Pada 11 November Ini

Dua wakil negara, TODAK dan Axis Esports masing-masing akan berada dalam kumpulan C dan B untuk peringkat kumpulan bagi kejohanan dunia Mobile Legends: Bang Bang, M1 yang akan bermula pada 11 November hingga 17 November ini.

Keputusan itu diketahui semalam apabila cabutan dibuat bagi menentukan pasukan-pasukan MPL dan pasukan-pasukan yang layak ke M1 untuk bertarung secara rawak dalam empat kumpulan.

Todak akan bertembung dengan Sunsparks (Filipina), Geo Esports (Brazil) dan Evil Esports (Turkey) dalam kumpulan C manakala Axis pula akan bertemu Burmese Ghouls (Myanmar), Candy Comeback (Laos) dan Team Gosu (Amerika Syarikat) dalam kumpulan B.

Difahamkan, Team Gosu mungkin akan memberi saingan hebat kerana mengikut carta prestasi kemenangan hero, mereka agak cemerlang dalam peratusan kemenangan. Burmese Ghouls pula mempunyai pemain-pemain yang pernah menjadi Top Global jadi apa-apa pun boleh terjadi.

Todak dan Axis Esports layak ke pentas dunia itu yang mengumpulkan 16 pasukan Mobile Legends terbaik dunia dari 14 negara. Kejohanan ini mengumpulkan wang tunai keseluruhan AS$250,000 (RM1.04 juta).

Todak menerima slot itu selepas layak ke Grand Final MPL MY/SG Musim Keempat manakala Axis pula di tempat keempat.

Difahamkan, bagi peserta Liga Profesional Mobile Legends (MPL), Malaysia mempunyai dua slot untuk kejohanan itu dan Singapura pula hanya diberikan satu slot manakala Indonesia dan Filipina pula dua slot diikuti Myanmar dengan satu slot.

Untuk pasukan dari rantau Eropah, Amerika dan bahagian lain Asia Tenggara seperti Vietnam dan Laos, mereka perlu melalui pusingan kelayakan dan kita sudah pun menemukan pasukan-pasukan tersebut. Anda boleh lihat senarai penuh pasukan yang layak di LINK ini.

Bagi info lanjut bagi M1, anda boleh layari http://m1.mobilelegends.com/MLBB/ untuk membeli tiket bagi kejohanan tersebut.

Untuk berita lanjut mengenai gaming dan e-sukan, ikuti kami di FacebookTwitter dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

Foto featured image: Mobile Legends: Bang Bang / Facebook

RELATED NEWS

+