Media Prima Digital Dan Kitamen Tandatangani MoU Bagi Memperkasakan Esports

Semalam, Media Prima Digital dan Kitamen menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) antara Ketua Pegawai Esekutif (CEO) Media Prima Digital, Rafiq Razali dan CEO Kitamen, Hazman Hassan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian persefahaman (MOU) diantara Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital (MPD), Rafiq Razali (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kitamen, Hazman Hasan (kanan) pada majlis Kolaborasi Media Prima Digital dan Kitamen Teraju Esports di Bangsar South. Gambar kredit: NSTP

Majlis yang diadakan bersempena Level Up 2018 di Nexus, Bangsar South itu disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan CEO Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood. 

Memetik kenyataan Rafiq, kolaborasi ini akan membantu untuk memperkasakan lagi industri esports tanah air.

“Kitamen adalah pemain industri esports yang berpengalaman dan komitmen mereka memberikan inspirasi kepada kami untuk bekerjasama bagi menganjurkan program yang mampu menarik minat dan mencari bakat baru dalam esports.

“Menggabungkan kepakaran media kami dan reputasi serta sumber (tenaga kerja, material, aset dan lain-lain) Kitamen dalam industri, ini akan memperhebatkan lagi misi kami membangunkan esukan dan gaming,”

MPD akan menyediakan kemudahan platform (televisyen, radio, percetakan dan sebagainya) untuk mempromosikan apa saja inisiatif gaming hinggalah kepada menyiarkan kepakaran berkaitan perkhidmatan live streaming.

Kitamen pula akan disediakan akses sepenuhnya untuk aset dalaman Media Prima dan menyertai acara berskala besar seperti Karnival Jom Heboh dan kejohanan membabitkan IPT pada masa depan.

Sementara itu, Syed Saddiq pula berkata, menerusi dua pemain industri iaitu Media Prima dan Kitamen dengan kepakaran mereka akan memajukan lagi industri esports ini ke depan. 

Dalam perkembangan lain, Saddiq juga memberitahu kementeriannya sedang berusaha untuk mengusulkan yang esports akan dipertandingkan sebagai acara berpingat di Sukan SEA 2019, Sukan Asia, Commonwealth mahupun Olimpik. 

“Yang mengikuti perkembangan esports ini, bilangan mereka amat besar dan mereka membelanjakan wang serta masa untuknya.

“Kalau kita tak bertindak sekarang, pastinya kita akan terlepas perkembangan ini,”

RELATED NEWS

+