MEL21: “Tak ada jurulatih, hanya bergantung kepada pengalaman,” – Abey

“Pasukan GVS Cydukan sudah lama ditubuhkan, sejak tahun 2019 lagi. Tapi saya baru saja sertai pada tahun ini,” itu kata Muhammad Nabil Japri (Abey) yang baru saja memenangi kejohanan Malaysia Esports League (MEL21) kategori Mobile Legends bersama pasukannya, Selasa lalu.

GVS Cyduken mewakili Pulau Pinang berjaya menewaskan Terengganu dengan skor 3-0 sekali gus memenangi sebahagian besar dari hadiah terkumpul RM200,000.

“Persiapan sebelum pertandingan, saya menyenaraikan hero-hero yang sering dipakai oleh pasukan Terengganu. Contohnya, hero apa yang patut dikeluarkan dan jangan diberikan kepada mereka.

“Untuk drafting, tiga pemain utama berbincang iaitu Abey, Minnn dan Zacus. Kami tiada jurulatih sementara. Hanya bergantung kepada pengalaman semata-mata,” katanya.

Menurut Abey, antara cabarannya bermain liga ini adalah sambungan Internet yang kadang-kadang tidak stabil sehingga mengganggu gameplay.

“Dari segi latihan pula, kami berlatih secara sendiri dan berharap sepenuhnya kepada kemahiran individu dan komunikasi secara telus dalam permainan,” katanya.

Abey juga berkata beliau sudah lama bertanding bersama Cyduken.

“Kami pernah menjuarai kejohanan Northen Esports Championship yang membabitkan empat negeri Utara iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis.

“Kami juga pernah menyertai kejohanan-kejohanan kecil yang lain,” katanya.

 

 

Sebanyak 16 pasukan bertanding di pusingan akhir MEL 21  yang mana 13 negeri dan 3 wilayah persekutuan menghantar wakil masing-masing.

Liga ini bertujuan mencari bakat-bakat baru dalam e-sukan. Ia dianjurkan oleh Esports Integrated (ESI) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Persatuan-Persatuan E-sukan Negeri dan Wilayah Persekutuan.

Ia menawarkan hadiah terkumpul RM200,000 yang dibahagikan untuk empat kategori: Mobile Legends, PUBG Mobile, FIFA 21 dan Dota 2.

RELATED NEWS

+