Harga permainan video semakin hari menjadi semakin mahal. Semasa permainan-permainan pelancaran PlayStation 5 (PS5) diumumkan, Sony Interactive Entertainment mengesahkan bahawa permainan baharu PS5 seperti Demon’s Souls akan dijual pada harga RM299.
Ini membuatkan ramai peminat permainan video di Malaysia mengutamakan permainan yang memberikan tempoh permainan yang panjang. Dalam hal ini, permainan dari genre Japanese role-playing game (JRPG) memang terkenal dengan ciri tersebut.
Jika anda tidak pernah main permainan JRPG, jangan risau. Ini merupakan peluang untuk anda mencuba sesuatu yang baru dan mungkin anda akan mendapati bahawa ia sebuah genre yang sangat menyeronokkan.
Persona 5
Platform:PlayStation 3 (PS3), PlayStation 4 (PS4)
Tempoh purata untuk habiskan jalan cerita utama: 90 jam
Jadi murid sekolah menengah pada waktu pagi dan bertukar menjadi “pencuri hati” pada waktu malam. Itulah premis ringkas Persona 5 yang dilancarkan pada tahun 2017 secara eksklusif untuk PS3 dan PS4.
Seperti kebanyakan JRPG, ia menggunakan sistem pertarungan mengikut urutan tetapi terdapat beberapa perkara yang membuatkannya lebih aktif seperti kebolehan untuk serang hendap musuh dan menggunakan elemen yang sesuai untuk melemahkan musuh.
Bagi anda yang sudah menghabiskan permainan ini, penulis mencadangkan anda membeli Persona 5 Royal yang mengandungi pelbagai kandungan baharu.
Dragon Quest XI: Echoes of an Elusive Age
Platform: Nintendo 3DS, PS4, Xbox One, Nintendo Switch, PC
Tempoh purata untuk habiskan jalan cerita utama: 60 jam
Dragon Quest XI: Echoes of an Elusive Age memberikan anda sebuah pengalaman pengembaraan klasik. Anda akan menjelajah ke banyak lokasi dalam dunia Erdrea dan menubuhkan pasukan atau party dengan pelbagai jenis watak-watak menarik.
Kualiti grafik permainan ini yang cantik diperkukuhkan dengan rekaan watak yang dihasilkan oleh Akira Toriyama, penulis dan pelukis manga Dragon Ball. Ia juga mempunyai album runut bunyi yang sangat sedap didengar.
Final Fantasy VII Remake
Platform: PS4, akan dilancarkan di platform lain pada tahun 2021
Tempoh purata untuk habiskan jalan cerita utama: 30 jam
Mustahil untuk membuat sebuah senarai JRPG terbaik tanpa judul Final Fantasy. Pada generasi ini, terdapat tiga permainan Final Fantasy yang popular iaitu Final Fantasy XV, Final Fantasy XIV, dan Final Fantasy VII Remake. Pada pendapat penulis, judul terakhir itu yang paling sesuai untuk peminat baharu dan veteran francais tersebut.
Permainan ini memberikan wajah dan sistem baharu kepada versi asal yang dahulunya dilancarkan di PlayStation 1 (PS1). Ia mempunyai sistem pertarungan yang mengasyikkan dan kualiti grafik yang sangat hebat. Ini merupakan judul pertama dalam sebuah trilogi.
Fire Emblem: Three Houses
Platform: Nintendo Switch
Tempoh purata untuk habiskan jalan cerita utama: 40 jam
Jika anda lebih berminat dengan permainan taktikal, Fire Emblem: Three Houses ialah sebuah permainan yang harus dicuba. Anda akan bermain sebagai seorang pensyarah yang perlu membimbing anak murid anda sehingga mereka menjadi wira yang hebat.
Tarikan utama permainan ini ialah kepelbagaian watak-watak yang muncul sebagai rakan-rakan serta musuh pemain. Anda akan bersemuka dengan pelbagai jenis individu yang mempunyai personaliti menarik.
NieR: Automata
Platform: PS4, Xbox One, PC
Tempoh purata untuk habiskan jalan cerita utama: 40 jam
Ramai peminat permainan video tidak berminat dengan sistem pertarungan mengikut urutan. Jika anda tergolong dalam kumpulan tersebut, anda perlu main JRPG yang lebih memberi fokus terhadap aksi seperti NieR: Automata.
Permainan ini dibangunkan oleh PlatinumGames, studio sama yang membangunkan permainan-permainan aksi popular seperti Bayonetta dan Astral Chain. Sistem pertarungan dalam permainan ini sangat pantas dan memerlukan kemahiran yang tinggi untuk dikuasai.