Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) memohon agar kerajaan tidak menganak tirikan organisasi itu susulan peruntukkan bajet e-sukan negara tahun hadapan.
Menurut laporan Harian Metro, Presiden MESF, Datuk Ananth S Nathan, mengetengahkan keperluan melihat MESF sebagai badan pemegang taruh utama dalam mendapatkan maklumat terperinci berkenaan status quo e-Sukan di Malaysia.
Menurut Datuk Ananth, pembentangan itu amat kritikal bagi memastikan kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mendapatkan idea tepat berkenaan pembangunan esukan tempatan. Ini juga dapat menambahkan penambahbaikan perancangan yang lebih teliti dan berasaskan sasaran.
President MESF, Datuk Ananth S Nathan
“Ternyata kerajaan sekali lagi tidak mengecewakan. Kami menyambut inisiatif kerajaan yang menyediakan RM20 juta bagi pertumbuhan e-sukan, RM5 juta bagi pusat kecemerlangan sukan dron dan pengecualian cukai pendapatan ke atas hadiah kejohanan e-sukan dengan gembira.”
Namun, presiden MESF menzahirkan rasa kesal kerana MESF masih tidak dibabitkan oleh pihak kerajaan bagi membincangkan secara teliti berkenaan pengagihan peruntukkan esukan di dalam pengumuman belanjawan tahun-tahun terdahulu.
“MESF khuatir kerajaan akan mendapat nasihat dan pandangan daripada pihak berkepentingan yang salah dan hanya memikirkan keuntungan semata-mata, tidak bertanggungjawab serta tidak serius terhadap keluarga besar esukan di Malaysia.”
“Atas sebab itulah, MESF ingin kerajaan mengkaji semula rasional mengembalikan peranan pembangunan e-sukan ini kepada MESF dan menyokong kami sebagai sebuah badan sukan tertinggi untuk mengawal selia segala urus tadbir berkenaan e-Sukan di negara ini,” katanya kepada Harian Metro.
Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 mengumumkan peruntukan esukan sebanyak RM20 juta.
Sumber rujukan: Harian Metro, Foto: Berita Harian