Mobile Legends: ‘Kami Dah Bersedia Untuk Pusingan Wild Card Esok’ – King Zyzz

Jurulatih FV MyA, Mohd Zulshahrin ‘King Zyzz’ Zulkifli menyuarakan kesediaan untuk pusingan Wild Card Liga Profesional Mobile Legends (MPL) MY SG yang akan berlangsung pada jam 5 petang esok.

Zul berkata, mereka sudah bersiap sedia dan membuat persiapan lengkap untuk menghadapi skuad senegara, We Own World.

“Sebagai jurulatih, saya yakin mereka dah bersedia dengan latihan setiap hari termasuk mengkaji kekuatan pihak lawan yang perlu diambil kira.

“Berbanding dua minggu lepas, nyata banyak perubahan perlu dibuat. Saya sendiri akui waktu itu ada yang tak bersedia kerana berdepan masalah kesihatan jadi pastinya kami tak ingin hampakan peminat untuk esok,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pengurus FV MyA, Benny Teh berkata, perlawanan penentuan esok adalah penting bagi memastikan skuad itu memperoleh slot untuk bertanding dalam musim liga MPL.

“Mereka dah lama bersedia dan ini adalah peluang terakhir untuk menyertai musim liga. Seharapnya kali ini mereka berjaya kekalkan momentum dan memenangi slot itu. King Zyzz dah pun memberikan banyak input ke dalam corak permainan pasukan dan kita dapat menyaksikan bagaimana strategi itu menentukan perlawanan esok,” katanya.

Benny berkata, sebagai pengurus pasukan tempat ketiga di MPL musim pertama itu, motivasi sangat penting memandangkan ada yang meletakkan harapan tinggi kepada FV MyA.

“Mengikut situasi sekarang, kami sedar yang sekarang kami sekali lagi adalah underdog dalam kelayakan ini kerana pertukaran roster dan ada yang menyifatkan kami tak sekuat dulu.

“Saya ada beritahu mereka berulang kali yang ini adalah peluang terbaik untuk membuktikan sebaliknya kepada semua dan yakin terhadap lineup baru ini. Setakat ini, kami nak kembali dengan lebih kuat dan buktikan yang terbaik kepada semua.

“Saya letakkan kepercayaan sepenuhnya kepada mereka,” katanya.

MPL musim kedua mengumpulkan hadiah wang tunai terkumpul RM399,000 dan menyaksikan empat pasukan jemputan terus, Mystic Burden (MCB), Bigetron E-Sports, Flash Tyrants dan AirAsia Saiyan disertai empat lagi pasukan iaitu Traitor, Saiyan Reborn, ICON MY dan Borneo Dragon FV akan beraksi dalam musim liga dijangka bermula 10 Ogos nanti.

Pusingan Wild Card akan dimulakan esok pada jam 5 petang selepas wakil Singapura diumumkan.

RELATED NEWS

+