MPL: “Hari-hari mereka berlatih, scrim,” – Hawkeye (Red Reborn)

“Musim kali ini mereka lebih bersemangat dan banyak berlatih,” itu kata Pengurus dan Jurulatih pasukan Red Reborn, Mohd Farhan Kamari (Hawkeye) bagi menjawab soalan berkenaan prestasi skuad itu pada minggu pertama musim liga MPL MY/SG Musim Keenam.

Red Reborn berada di kedudukan kedua dalam ranking minggu pertama liga. Mereka berjaya tewaskan Geek Fam 2-1 dan DVT, 2-0.

Kata Farhan, mereka bukan saja mensasarkan juara di MPL tapi juga slot kelayakan untuk kejohanan dunia, M2. Walaupun tidak bersama pemain itu di kem latihan, kata Farhan, dia tetap menjalankan tugasannya sebagai pengurus dan jurulatih.

“Saya biasanya akan memperhatikan bagaimana corak permainan mereka ketika scrim dan apa kekurangan yang boleh ditambah baik.

“Kalau ada silap, saya akan tegur. Tapi untuk pemilihan hero, saya letak kepercayaan kepada Silo tapi masih memberikan input saya juga,” katanya.

Ketika menjalani pusingan kelayakan Malaysia dari bawah sebelum ini, Farhan mengatakan proses itu mematangkan semua pemain.

“Dugaan itu membuatkan mereka lebih bersemangat untuk terus konsisten pada musim liga ini,” kata Farhan.

Mengulas mengenai perubahan dalam MPL kali ini, Farhan memuji strategi Moonton yang menyelitkan sistem ban terbaharu, iaitu 10 hero.

“Bagi Red Reborn, kami fokus untuk ban hero pembantu (support) dan pertahanan (tank) musuh terlebih dahulu kerana hero core biasanya boleh diatasi.

“Apa yang saya boleh katakan, sekarang kami sedaya upaya mengkaji pasukan lain dan dengan pengalaman yang ada, insyaAllah kami boleh lakukan lebih baik,” katanya.

Farhan berharap peminat dapat terus memberikan sokongan kepada Red Reborn dan kepada pasukan Malaysia lain bertanding.

Setakat minggu pertama liga, Red Reborn berada di kedudukan kedua, di belakang EVOS SG.

MPL Malaysia dan Singapura Musim Keenam berlangsung selama enam minggu untuk musim liga yang disertai 10 pasukan terbaik Malaysia dan Singapura.

Mereka merebut hadiah wang tunai terkumpul RM417,250.

Ikuti kami di Facebook, Twitter dan Instagram. Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+