MPL: “Trofi Ini ‘Membayar’ Segala Penat Lelah Kami,” – Pengurus EVOS SG, Matthew Chan

“Trofi ini penting kerana ia ibarat menghilangkan segala kerisauan dan membayar penat lelah kesemua kami di EVOS,” itu kata Pengurus EVOS SG, Matthew Chan selepas mendapat khabar gembira pasukannya memenangi Liga Profesional Mobile Legends (MPL) Malaysia dan Singapura yang mengumpulkan hadiah terkumpul RM414,000, semalam.

EVOS SG membawa pulang wang tunai RM105,000 dan ini juga kemenangan pertama mereka di mana-mana kejohanan MPL.

“Pemain-pemain ini sudah bermain untuk tiga musim dan layak ke ketiga-tiga Grand Final berturut-turut tapi tidak berjaya meraih kemenangan. Mereka mula rasakan ia ibarat satu sumpahan dan tak percaya untuk memenanginya lagi. 

“Selain itu, EVOS sudah berada dalam arena ML untuk dua tahun dan kami belum pernah memenangi MPL di mana-mana negara. Kemenangan ini mengubah segalanya untuk pemain dan organisasi. Saya berharap ia akan membuka lembaran baru buat EVOS untuk meraih lebih banyak kemenangan selepas ini,” katanya.

Kata Matthew, musim liga bagi MPL S4 ini sangat memenatkan dan cabarannya cukup hebat.

“Ada banyak masalah ditempuh pemain dan mereka juga adalah part-timers, mempunyai kerja selain ada kuliah perlu dihadiri. Mereka berkorban masa terluang untuk berlatih sehingga ke tahap ini.

“M1 sudah menghampiri dan kami akan cuba yang terbaik untuk harumkan nama Singapura. Kami rasakan kami tidak bermain begitu bagus di MSC dan sekarang masanya untuk tebus kekalahan di pentas dunia. 

“Pergi ke mana saja kejohanan, kita harus sasar piala dan gelaran juara, jika tidak, tiada makna untuk sertainya pun,” katanya.

EVOS SG juga turut layak ke kejohanan dunia Mobile Legends, M1.

Mereka diwakili oleh Ace, JPL, Kid, OhDeerBambi, Soul dan Potato.

RELATED NEWS

+