“Nak jadi jurulatih muda yang boleh membanggakan Malaysia,” – Kelvin Unting

Tatkala Land of Dawn penuh dengan pemain muda yang berkaliber, Malaysia masih kekurangan jurulatih dari Malaysia yang masih hijau usianya. Ramai di antara mereka memilih untuk menjadi seorang pemain profesional. Namun, tidak bagi Kelvin “Rexvinn” Unting. Pada usia 18 tahun, dia sudah menjadi jurulatih untuk pasukan Suhaz Esports dan juga skuad wanita Suhaz Ariel.

Di dalam temubual ekslusif MyGameOn bersama Kelvin, jejaka berasal dari Sarawak ini tidak pernah menjadi pemain profesional sebaliknya melakukan debut sebagai jurulatih di dalam arena kompetitif. 

CABARAN

Ketika ditanya tentang cabaran di dalam menjadi jurulatih dalam usia begitu muda, dia menjawab, “Melatih dua pasukan di dalam satu masa memerlukan komitmen yang sangat tinggi. Saya kerap mengalami keletihan dari segi mental namun saya sangat berpuas hati dengan pencapaian saya.

“Ahli pasukan memberikan kerjasama dan menerima cara saya melatih mereka jadi perkara ini menyebabkan kerja saya lebih mudah dan selesa untuk melatih mereka,”

KENAPA PILIH JURULATIH

“Sebelum ini pernah ingin menjadi pemain profesional, saya banyak melatih dan menjadi kapten untuk pasukan saya. Di samping itu, memberi tunjuk ajar kepada rakan-rakan tentang mekanik dan juga cara yang betul untuk bermain MLBB.

“Dari situ, rakan-rakan memberitahu saya bahawa saya boleh menjadi jurulatih di atas pengetahuan saya yang meluas di dalam MLBB. Namun begitu, sewaktu saya berumur 17 tahun, saya tidak dapat memberikan komitmen sepenuh masa oleh kerana saya sedang menghadapi ujian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun itu.

“Saya juga banyak berkongsi tips dan ilmu di status whatsapp sebelum ini dan lama kelamaan rakan-rakan perempuan saya mengajak saya untuk menjadi jurulatih mereka. Inilah bermulanya perjalanan saya sebagai jurulatih dan dari situ terbentuknya skuad yang diambil oleh Suhaz Esports,” katanya.

HARAPAN

“Bagi pasukan MPL iaitu Suhaz Esports, saya mahu menjadi seorang jurulatih underdog yang setaraf dengan jurulatih veteran yang lain. Walaupun usia saya begitu muda namun saya percaya setiap orang boleh menjadi jurulatih yang hebat berkat dari usaha yang tidak terhenti.

“Namun begitu, ini tidak bermakna saya tidak menghormati jurulatih (senior) yang lain, mereka tetap menjadi kunci pencapaian saya selama ini,” ujarnya.

“Jurulatih dari Indonesia iaitu Jamess dan Zeys menjadi inspirasi utama dan saya banyak belajar dari mereka. Selain itu, jurulatih dari Filipina juga menjadi kayu ukur buat saya. Walaupun bahasa mereka sukar untuk difahami, saya mengambil initiatif merujuk kepada rakan-rakan Filipina saya untuk menterjemahkan tips dari mereka.”

PELUANG

Jika diberikan peluang, Vinn ingin menjadi wakil penganalisa ataupun jurulatih untuk Sukan Asia Tenggara (SEA) nanti. “Memang menjadi impian saya untuk mewakili Malaysia di dalam sukan SEA sebagai jurulatih atau penganalisa untuk MLBB.

“Ia akan menjadi pencapaian yang besar buat saya jika diberikan peluang yang sangat berharga ini. Di samping itu, saya juga ingin mengharumkan nama Malaysia di dalam Kejohanan Jemputan Mobile Legends (MPLI) 2022 ini, pertandingan yang terdiri dari pelbagai negara asia tenggara itu dianjurkan setahun sekali,” katanya.

Ditanya tentang pencapaian Suhaz Ariel ketika di Kejohanan Jemputan Wanita MLBB (MWI), “Ye saya sangat terkejut dengan pencapaian mereka, saya tidak sangka kami dapat menjadi top 3/4 di dalam pertandingan itu.

“Ini kerana kami harus berdepan dengan negara Indonesia yang sedia maklum sangat kompetitif dan banyak pengalaman. Untuk melihat pencapaian sebenar Suhaz Ariel, perlu lebih banyak lagi Kejohanan Wanita MLBB diadakan di Malaysia. Ini akan menjadi titik permulaan buat Suhaz Ariel, mereka bermain dengan begitu baik sekali,” tambahnya.

LATIHAN

Vinn juga seorang yang sangat mementingkan kualiti dalam latihan.

“Apa guna jika kita berlatih dalam tempoh yang lama setiap hari tanpa ada hasil yang baik. Sebab itu saya menggunakan kaedah “Smart Training” dan ia ternyata berkesan selama ini.

“Saya akan sibuk dengan latihan dan scrim (berlatih) bersama pasukan MPL dari pagi hingga malam dan harus memberikan tumpuan kepada pasukan wanita iaitu Suhaz Ariel untuk melatih mereka pula pada malam hari.

“Walaupun penat, Suhaz Ariel memahami keadaan saya dan mereka banyak memberikan kerjasama kepada saya untuk fokuskan kepada MPL semenjak MWI tamat,” katanya.

Dia mengakhiri temubual dengan berkata, “Saya ingin meminta sokongan dari warga Malaysia untuk tidak memandang rendah kepada saya walaupun saya masih muda. Saya akan mencuba dengan sebaik mungkin untuk membawa Suhaz Esports memenangi MPL tahun ini.

“Saya sendiri sudah mengalami pelbagai pengalaman yang sukar terutamanya melatih Suhaz Ariel kerana cara melatih mereka tidak sama dengan lelaki. Walaupun begitu, Suhaz Ariel memberikan kerjasama dan terus memberikan sokongan kepada saya,” katanya mengakhiri perbualan.

RELATED NEWS

+