Nvidia GeForce RTX 3090, 3080, 3070 akan tiba pada September dan Oktober

Nvidia telah mendedahkan siri kad grafik baharu mereka iaitu GeForce RTX 3000, khususnya RTX 3090, 3080, dan 3070. Siri kad grafik ini merupakan generasi kedua kad grafik RTX yang mempunyai kebolehan ray-tracing.

Pendedahan ini dibuat di acara digital GeForce Special Event yang disiarkan pagi tadi. Selain daripada mengumumkan tiga kad grafik di atas, Nvidia juga mengumumkan Nvidia Broadcast, Nvidia Omniverse Machinima, dan Nvidia Reflex.

Siri kad grafik baharu ini dikenali sebagai kad yang menggunakan seni bina Ampere. Kad RTX generasi pertama menggunakan seni bina Turing.

 

Nvidia GeForce RTX 3080

Kad grafik pertama yang dipertunjukkan di GeForce Special Event ialah Nvidia GeForce RTX 3080. Ia merupakan pengganti GeForce RTX 2080 dan menurut Nvidia sendiri, ia dua kali ganda lebih berkuasa berbanding RTX 2080.

Kad ini juga lebih berkuasa daripada GeForce RTX 2080 Ti yang (pada waktu ini) dijual pada harga sekitar RM5,500 hingga RM7,000. Ini merupakan satu kenyataan yang sangat mengejutkan kerana ia akan dijual pada harga yang jauh lebih murah berbanding kad tersebut.

Nvidia menjanjikan kad ini mampu main permainan AAA seperti Control dan Metro Exodus pada tetapan tertinggi ray-tracing dalam resolusi 4K pada kadar 60FPS yang stabil. Ini merupakan satu perkara yang tidak dapat dilakukan oleh GeForce RTX 2080.

Ia akan dilancarkan pada 17 September tahun ini pada harga AS$699 (RM2,900).

 

Nvidia GeForce RTX 3070

Bagi kebanyakkan pengguna yang tidak bertujuan untuk main permainan AAA pada tetapan 4K 60FPS, kad GeForce RTX 2070 sudah pun mencukupi. Nvidia memahami bahawa tidak semua orang akan berminat untuk memiliki kad flagship baharu mereka.

Oleh itu, mereka juga akan melancarkan pengganti GeForce RTX 2070 iaitu Nvidia GeForce RTX 3070. Perkara yang paling mengejutkan tentang kad ini ialah Nvidia menyatakan ia juga lebih berkuasa daripada RTX 2080 Ti.

Ia akan dilancarkan pada bulan Oktober tahun ini pada harga AS$499 (RM2,100).

 

Nvidia GeForce RTX 3090

Nvidia memanggil kad ini “Ampere gergasi” dan juga “BFGPU”. Nvidia GeForce RTX 3090 merupakan kad RTX generasi kedua paling berkuasa yang telah didedahkan setakat ini. Inilah pengganti RTX 2080 Ti yang sebenar.

Kad ini sememangnya bukan dibuat untuk pemain biasa. Ia berkebolehan untuk memaparkan permainan pada resolusi 8K pada kadar 60FPS. Penulis merasakan kad ini sesuai untuk mereka yang mahu membina mesin simulasi perlumbaan atau penerbangan yang mempunyai paparan cantik dan realistik.

Ia akan dilancarkan pada 24 September pada harga AS$1,499 (RM6,300).

 

Pengumuman kad-kad di atas semestinya membuat pemain PC rasa sangat teruja. Pada pendapat penulis, kita semua harus bersabar pada waktu ini dan baca atau tonton dahulu ulasan-ulasan yang akan dibuat apabila kad-kad di atas dilancarkan.

Bagi anda yang hanya mahu bermain pada resolusi 1080p dan 1440p, penulis yakin tindakan yang bijak ialah untuk membeli kad siri RTX 2000 yang akan diturunkan harga apabila kad siri RTX 3000 dilancarkan.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+