#OCS2019 – Perjuangan FrostFire Kini Berakhir

Tamat sudah perjuangan pasukan CS:GO negara, FrostFire di Omen Challenger Series 2019 apabila gagal menduduki kedudukan kedua terbaik dalam peringkat kumpulan yang berlangsung sejak semalam.

Kejohanan itu mengumpulkan 12 pasukan CS:GO terbaik di rantau Asia Pasifik berentap merebut hadiah wang tunai terkumpul RM208,000.

Malaysia ketinggalan tiga mata untuk melepasi skor diperoleh skuad Filipina yang memungut keseluruhan lapan mata.

Kapten pasukan, Aiman Azham bagaimanapun positif dengan kekalahan itu.

“Kami memang nak menang dan sudah berikan persembahan terbaik,” katanya.

Meskipun tewas, FrostFire berjaya mendapat kemenangan bersih ke atas skuad Taiwan, AHQ semalam 2-0. 

Mengulas perlawanan sebentar tadi, kata Aiman, pasukan Australia, Grayhound mempunyai pemahaman lebih baik membabitkan peta.

“Grayhound lebih tahu untuk memahami peta yang dimainkan dan menggunakan kelebihan itu ke atas kami.

“Kami akui, kesilapan pada posisi masih boleh diperbaiki. Ini kerana kami banyak tersilap tempat dan tidak membuat rotasi ke tempat bom dengan betul.

“Tapi dari segi kemahiran individu (menyasar pemain) dan sebagainya, kami boleh menyaingi mereka,” katanya. Setakat ini, Grayhound berada di kedudukan ke-18 dunia mengikut ranking dari HLTV.

 

Banyak lagi perlu diperbaiki

 

Bercakap mengenai latihan, mereka berlatih dengan jangka masa lebih lama iaitu lapan hingga 10 jam namun mengakui ada terlepas pandang beberapa perkara.

“Kami berlatih lama tapi bagi pasukan lain, mereka mengambil masa lebih sekejap namun mempelajari perkara baru dan cuba memperbaiki kesilapan lama. Tapi tidak bagi kami,” katanya.

Aiman juga berkata, penganalisa adalah individu yang sangat diperlukan dalam sesuatu pasukan.

“Penganalisa boleh ‘membaca’ gaya permainan pihak lawan dan membuat analisa untuk kelemahan mereka.

“Jadi kalau sesebuah pasukan itu selalu masuk pertandingan, semestinya posisi ini sangat diperlukan. Persediaan awal adalah sangat penting berbanding melakukan kesemua itu (membaca gameplay) ketika sedang dalam perlawanan,” katanya.

 

Keseluruhan pertandingan sangat memuaskan

Sementara itu, bagi Shamir Zaman atau Subbey, dia merasakan pertandingan Omen Challenger Series 2019 ini adalah memuaskan berbanding acara lain.

“Saya rasakan pertandingan ini menarik kerana kebajikan pemain dijaga. Memang selesa bertanding dengan spesifikasi PC yang mantap.

“Ini antara pengalaman yang cukup bagus buat saya,” katanya.

Pada usia 22 tahun, Shamir menjadikan kerjaya ini (pemain profesional CS:GO) sebagai kerjaya tetap.

“Walaupun saya mengambil Diploma dalam bidang masakan, saya rasakan game adalah hobi yang memang saya minat.

“Jadi saya fikir apa salahnya kalau ada peluang, ambil saja dan cuba cabar buat sesuatu yang saya mahir juga,” katanya.

Aiman dan Shamir juga berpendapat pemain CS:GO di Malaysia kini mempunyai perjalanan karier agak stabil berbanding beberapa tahun lepas.

“Berbanding dulu, kami tidak dibayar gaji untuk bermain namun kini, sudah ada fasiliti dan sebagainya sama seperti pemain di luar negara,” katanya.

FrostFire juga mengucapkan terima kasih kepada peminat yang menyokong perjalanan mereka sepanjang berada di Omen Challenger Series 2019 ini dan berharap kesilapan dapat diperbaiki untuk memberikan mutu persembahan lebih baik pada masa depan.

Untuk berita lanjut mengenai gaming dan e-sukan, ikuti kami di FacebookTwitter dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+