ONE Esports Lantik CEO Baru Untuk Membangunkan E-Sukan Di Rantau Asia Tenggara

ONE Championship melantik ketua pegawai eksekutif pertama ONE Esports iaitu disandang oleh Carlos Alimurung. 

Buat pengetahuan korang, ONE Esports merupakan satu badan khas untuk e-sukan yang dicipta oleh organisasi sukan seni mempertahankan diri (MMA), ONE Championship yang baru sahaja ditubuhkan pada tahun lepas.

Dalam satu temuramah eksklusif bersama MyGameOn, Alimurung berkongsi sebab sebenar kenapa sebuah organisasi seni mempertahankan diri ini ‘terjun’ ke dalam gelanggang e-sukan. Beliau berkata ini adalah peluang keemasan bagi ONE Championship kerana ekosistem e-sukan di Asia Tenggara semakin membesar dan sejajar dengan komuniti peminat seni mempertahankan diri.

“Di Asia Tenggara, terdapat 100 juta pemain dan kira-kira satu per tiga daripada mereka adalah peminat e-sukan serta rantau ini mengalami perubahan paling pesat dalam pasaran gaming secara global,” kata Alimurung yang turut menjelaskan ini merapatkan jurang antara pemain e-sukan dan peminat sukan seni mempertahankan diri.

“Saya rasa atlet e-sukan kurang diberi penghargaan. Tak ramai orang tahu untuk jadi atlet e-sukan ini, anda kena berdedikasi, berdisiplin dan mempunyai semangat juang tinggi. Bagi saya, ini mempunyai persamaan dengan mana-mana sukan tak kiralah sama ada sukan seni mempertahankan diri, bola sepak, bola keranjang ataupun besbol. Saya lihat e-sukan ini sama seperti sukan fizikal juga,” katanya.

Ramsez dari Virtuos Pro menjulang trofi KL Major pada 2018

Alimurung juga mengumumkan acara e-sukan yang bakal dianjurkan oleh ONE Esports. Organisasi ini bakal mengelola sendiri dua acara Dota 2 Invitationals iaitu bertempat di Stadium Tertutup Singapura (Singapore Indoor Stadium) pada 20 hingga 22 Disember 2019. Kemudian, satu lagi pertandingan Dota 2 Invitationals juga bakal diadakan di ICE BSD, Jakarta, Indonesia pada 17 hingga 19 April 2020. Acara ini bakal menyaksikan pasukan-pasukan Dota 2 ternama bertanding untuk membawa pulang hadiah USD$500,000 (RM2.06 juta).

Untuk meraihkan acara ke-100 ONE Championship yang akan tiba tidak lama lagi, mereka bakal mengadakan pertandingan ONE Tekken Tokyo Invitational dan ONE Street Fighter Tokyo Invitational buat julung kali diadakan di ONE Martial Arts Fan Fest di Shibuya Bellesalle Garden pada 5 hingga 6 Oktober.

Acara ini bakal menggabungkan atlet seni mempertahankan diri terbaik di dunia bersama-sama atlet profesional game fighting dalam satu bumbung sama untuk beramah mesra bersama peminat game kompetitif dan juga sukan seni mempertahankan diri.

“Kami melihat satu tarikan dalam Tekken dan Street Fighter iaitu terdapat persamaan bertindih antara kejohanan ONE Championship (yang fokus kepada seni mempertahankan diri campuran) dan pemain game berbentuk fighting ini,” kata Alimurung. 

Alimurung ialah seorang veteran dalam industri e-sukan dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Bisnes (Chief Business Officer) untuk Battlefy iaitu sebuah platform untuk menguruskan pertandingan e-sukan secara terbuka sejak dari tahun 2015.

Berpengekalan di Singapura, Alimurung bakal menggalas tanggungjawab untuk merealisasikan matlamat dan objektif ONE Esports di rantau Asia bermula pada 19 Ogos ini.

Untuk berita lanjut mengenai gaming dan e-sukan, ikuti kami di FacebookTwitter dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+