One Punch Man: A Hero Nobody Knows – Semua Yang Anda Perlu Tahu

Permainan video One Punch Man: A Hero Nobody Knows bakal dilancarkan pada 28 Februari 2020 untuk PC, PlayStation 4 (PS4), dan Xbox One.

Para peminat siri manga dan anime One Punch Man semestinya tidak sabar untuk mencuba permainan ini. Ia adalah sebuah permainan perlawanan yang dibangunkan oleh Spike Chunsoft dan diterbitkan oleh Bandai Namco Entertainment.

 

Saitama Dalam Permainan Perlawanan? Macam Tak Adil!

Foto: Polygon

Cara permainan A Hero Nobody Knows tidak jauh beza dengan siri permainan Naruto Shippuden: Ultimate Ninja Storm. Anda akan mengawal sekumpulan watak-watak dan bertarung dalam kawasan tiga dimensi.

Format perlawanan dalam permainan ini ialah 3v3 dan terdapat lebih daripada 20 watak yang boleh dipilih.

Ini permainan One Punch Man, oleh itu semestinya Saitama ialah salah seorang watak yang boleh dimain.

Persoalannya, bagaimana seorang watak overpowered yang boleh kalahkan semua musuh dengan hanya satu tumbukan dimasukkan ke dalam permainan perlawanan?

Jawapannya mudah, perkenalkan sebuah kelemahan yang ketara!

Dalam A Hero Nobody Knows, Saitama tidak boleh dimain serta merta apabila dia dipilih. Kumpulan yang memilih Saitama perlu menunggu selama 300 saat untuk Saitama tiba di kawasan perlawanan.

Pemain tidak semestinya perlu tunggu 300 saat. Mencatatkan combo yang tinggi ialah salah satu cara untuk mempercepatkan ketibaan Saitama.

Apabila Saitama sudah tiba di kawasana perlawanan, maka tamatlah riwayat kumpulan pihak lawan! Dia boleh menumpaskan semua watak lain dengan hanya satu tumbukan dan dia tidak boleh disakiti langsung.

 

Boleh Reka Hero Sendiri

Dalam mod single player permainan video ini, anda tidak akan bermain sebagai Saitama.

Dalam sebuah temuramah bersama TheSixthAxis, Yasuhiro Yahata, penerbit A Hero Nobody Knows, menerangkan bahawa keputusan ini dibuat kerana Saitama terlalu kuat untuk dijadikan watak utama.

Disebabkan hal itu, permainan ini memperkenalkan jalan cerita di mana pemain akan membuat watak sendiri. Terdapat pelbagai jenis pakaian dan barang hiasan yang boleh dipakaikan kepada watak anda.

Anda akan berjalan-jalan di sekitar kawasan bandar untuk mencari mission yang boleh dilakukan untuk membantu masyarakat sejagat. Untuk majukan diri dalam mod single player, anda perlu menyiapkan mission untuk menaikkan Hero Rank anda.

Bila sudah mencapai Hero Rank yang cukup tinggi, anda boleh melakukan mission yang lebih susah dan pergi ke kawasan-kawasan baru.

Antara perkara yang menyeronokkan dalam mod single player ialah watak anda akan terserempak dengan watak-watak dari siri One Punch Man seperti Saitama, Mumen Rider, dan ramai lagi.

 

Ada Hampir Semua Watak Dari Musim Pertama Anime

Seperti yang ditunjuk dalam banyak gambar promosi permainan ini, nampaknya watak Boros akan menjadi musuh utama.

Bagi mereka yang tidak pernah tengok anime One Punch Man, Boros ialah musuh terkuat yang dilawan Saitama dalam musim pertama anime tersebut.

Oleh itu, penulis menjangkakan jalan cerita permainan ini akan berakhir pada waktu yang sama musim pertama anime One Punch Man berakhir iaitu selepas kekalahan Boros.


One Punch Man: A Hero Nobody knows akan dilancarkan pada 28 Februari 2020 untuk PC (Steam), PS4, dan Xbox One.

Tak lama lagi kita boleh merasakan kuasa Saitama di hujung jari jemari kita!

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+