Pemain Profesional CS:GO, Ramona Azween Kecewa Dengan Penganjuran Malaysia Esports Convention

Pemain profesional CS:GO negara, Ramona Azween meluahkan rasa kecewa terhadap acara esports yang diadakan baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan peribadinya di TwitLonger, Ramona menekankan beberapa isu yang memberi impak kepada pemain terutamanya dari segi keselesaan dan perlawanan yang ditunda begitu lama.

Ramona. Gambar kredit: RevivalTV

NOTA: Kenyataan asal adalah dalam bahasa Inggeris, kami menterjemahkannya sebaik mungkin dalam Bahasa Melayu.

“Pasukan kami (Sphynx) layak ke acara Grand Final ini menerusi kelayakan Malaysia bulan lepas. Apa yang saya tahu, tiket penerbangan bagi pasukan antarabangsa hanya dibeli dan diberikan kepada pemain 24 jam sebelum mereka sepatutnya berlepas yang pada hemat saya, sangat tak masuk akal.

“Mereka juga perlu mencari penginapan tanpa bantuan penganjur. Komunikasi antara penganjur dan pemain sangatlah mengecewakan, seterusnya mengakibatkan kekeliruan yang jelas bagi penginapan dan tiket penerbangan,” kata Ramona.

Dia juga turut mengatakan acara ini adalah peringkat antarabangsa dan sepatutnya ada standard ditetapkan untuk kebajikan dan keselesaan pemain.

“Sepatutnya ada pihak yang berkomunikasi untuk mengambil mereka dari lapangan terbang, memberikan jadual perlawanan, menyediakan makanan dan pergi ke lokasi dari hotel dengan selamat memandangkan ia adalah pasukan terdiri daripada lima hingga enam perempuan dari negara luar.

“Ia mungkin tak beri impak begitu besar kepada saya kerana faktor tinggal di Malaysia tapi bagi mereka, pastinya ia akan dipersoalkan,”

Ramona turut meluahkan rasa kecewa terhadap penganjuran itu yang sangat caca-merba. Masalah teknikal, isu pemilihan pentas kurang sesuai dan masalah jadual ini antara isu yang paling besar pernah dihadapinya.

“Pemain dikhabarkan perlu datang ke lokasi pada 8.30 pagi dan kemudiannya perlu ke sana tanpa bantuan (tiada pihak menawarkan transportation).

“Saya rasa perkara ini boleh dielakkan dengan menyediakan perkhidmatan bas untuk ke lokasi dan balik ke hotel tapi akhirnya pemain perlu menunggu lebih 12 jam untuk mendengar berita mereka tak perlu bermain pada hari pertama kerana ada delays,”

Ramona juga secara ringkasnya memberitahu kawasan itu tak mempunyai tempat rehat bagi pemain untuk berbincang strategi dan mereka juga berdepan kekurangan PC yang melambatkan lagi perlawanan.

“Bukan itu saja, sebagai pemain profesional, ini adalah pertama kali saya bermain di PC dan terasa sangat panas. Malah, kami tak diberikan tempat berteduh selepas hujan dan boleh rasa titisan hujan itu.

“Seperti atlit lain yang memberikan segala kudrat, usaha malah mengorbankan komitmen kerja untuk memberikan CS:GO Malaysia nama yang baik, kami mengharapkan acara ini sepatutnya dianjurkan lebih baik pada awalnya.

“Pemain tertekan kerana menunggu berjam-jam untuk berlawan dan tak dapat berikan persembahan terbaik. Malah, pengulas turut datang dan cuba membantu kami dan nampaknya seperti tiada orang yang cuba kawal situasi, everyone was their own boss. Ini seperti sangat ironi memandangkan ia adalah acara esports terbesar tanah air,”

Akhir sekali, Ramona berkata yang ini bukanlah serangan peribadi kepada sesiapa sebaliknya setiap pihak seperti unit teknikal cuba lakukan yang terbaik.

“Saya percaya untuk komuniti terus berkembang, kejohanan tak boleh terus berjalan seperti ini, mereka perlu belajar dari kesilapan dan daripada organisasi yang berpengalaman.

“Saya dah bermain kompetitif selama 15 tahun dan sedih melihat kualiti pertandingan tak berubah sejak awal dulu.

“Diharapkan ada pihak yang mempunyai visi untuk mengembangkan esports di Malaysia ke arah yang betul selepas ini,”

—–

Sementara itu, Prof Muhammad Sadruddin selaku penganjur berkata “Terdapat beberapa perkara yang kami telah kenal pasti punca kelewatan pertandingan melalui analisa kami dan telah mengambil tindakan susulan,”

Malaysia Esports Convention dianjurkan Ansara Esports dan mengumpulkan lebih 10 e-sukan dipertandingkan dengan hadiah wang tunai keseluruhan RM300,000 selain memuatkan aktiviti lain seperti pameran, karnival dan macam-macam lagi. Ia diadakan di kampus baru Asia Pacific University, Kuala Lumpur bermula Jumaat hingga hari ini.

RELATED NEWS

+