Pembangun Stardew Valley memperkenalkan permainan baru

Eric Barone atau lebih dikenali sebagai ConcernedApe, pembangun solo Stardew Valley, hari ini memperkenalkan permainan baru, Haunted Chocolatier. 

Pembangun itu menggunakan saluran YouTubenya untuk memperlihatkan bagaimana dunia Haunted Chocolatier yang juga permainan berasaskan piksel dengan pemandangan dari atas. Sekali pandang ianya masih mempunyai ciri-ciri seakan Stardew Valley. 

Selain itu, melalui laman blognya, yang ditulis pada 8 Oktober, Eric Barone juga menceritakan sedikit sebanyak mengenai permainan barunya ini. 

“Kenapa coklat? Saya tidak pasti. Ia bagaikan satu inspirasi kepada saya.” katanya. 

“Di dalam Stardew Valley, fokusnya adalah lebih bersederhana, meneroka tanah, bercucuk tanam dan berhubung bersama orang ramai dan alam di sekeliling anda. Bagaimanapun, permainan seterusnya ini, saya mahu meneroka lebih banyak kemungkinan dan pengalaman yang luar biasa. Di situ di mana coklat ajaib berhantu muncul.”

Namun, Eric tidak menghuraikan apa jenis permainan ini. Tetapi sedikit sebanyak menceritakan apa yang boleh pemain lakukan di dalam permainan ini.

“Sekarang, pasti anda tertanya-tanya, apa jenis permainan ini. Saya tidak pasti bagaimana untuk menghuraikannya. Ia berkembang secara semula jadi sepanjang saya membangunkannya, jadi saya tidak tahu kemana hala tujunya.”

“Tetapi, secara dasarnya, permainan ini akan ada elemen mengumpul bahan, hasilkan coklat dan menguruskan kedai coklat. Sudah pasti terdapat lebih daripada itu, tetapi saya tidak mahu dedah lagi kerana ianya masih di peringkat awal,”

Buat masa ini, masih tiada perincian mengenai bila permainan ini akan dilancarkan secara rasmi. Tetapi, Barone juga mengesahkan permainan ini akan tiba untuk PC, buat masa ini. 

Sumber: ComicBook, HauntedChocolatier, IGN SEA.

RELATED NEWS

+