Pencabar baru dari Amerika Latin akan menyertai kejohanan dunia, M3

Mobile Legends: Bang Bang sebelum ini mengumumkan Liga Arabia Major untuk negara-negara dari Timur Tengah, Arabia Major bertujuan memberikan peluang kepada negara-negara dari Timur Tengah ini mendapatkan slot untuk kejohanan dunia, M3.

Meneruskan visi dan misi untuk membesarkan pengaruh mereka ke benua lain dari Asia Tenggara, Moonton kini mengumumkan kejohanan Latam bagi negara-negara Amerika Latin untuk turut serta mendapatkan slot ke kejohanan dunia, M3.

Negara-negara yang akan menyertai pertandingan ini adalah Mexico, Panama, Uruguay, Chile, Argentina, Colombia, Ecuador, Costa Rica, El Salvador, Bolivia dan banyak lagi.

Pusingan akhir akan diadakan di Argentina. Kejohanan ini akan dimulakan pusingan kelayakan pada Ogos sehingga September. Bagi melancarkan proses pusingan kelayakan, rantau itu akan terbahagi kepada Amerika Latin Selatan (LAS) dan Amerika Latin Utara (LAN).

Pasukan yang dibentuk dari rantau LAS adalah dari negara Argentina, Bolivia, Chile, Paraguay, Peru dan Uruguay manakala rantau LAN akan menampilkan pasukan dari negara Ecuador, El Salvador, Colombia, Costa Rica, Guatemela, Nicaragua, Panama, Mexico dan negara dari Amerika Tengah.

Brazil bagaimanapun tidak tersenarai kerana sudah mempunyai liga (MPL) sendiri.

Bermula dari 15 Ogos sehingga 22 Ogos, pasukan akan diberikan kebebasan untuk mendaftarkan pasukan mereka di lawan web rasmi Latam Championship. Setiap skuad dibenarkan untuk mempunyai tujuh orang pemain (lima pemain utama dan dua pemain simpanan).

Peringkat terbuka pusingan kelayakan akan bermula pada 27 dan 29 Ogos dan pusingan akhir akan dianjurkan pada 2 Oktober nanti.

Hadiah wang terkumpul sebanyak AS$20,000 (RM84,760) dan Diamond sebanyak 200,000 untuk dimenangi.

Pengumuman ini pasti akan meningkatkan lagi saingan yang bakal dihadapi oleh barisan pasukan sedia ada di kejohanan dunia, M2 sebelum ini. Siapa sangka Moonton berjaya melebarkan sayapnya dari Asia Tenggara ke negara-negara Timur Tengah dan Amerika Latin. 

RELATED NEWS

+