Perjalanan Level Up KL Untuk Jadi Hub Permainan Video Terbaik Di Malaysia & Asia Tenggara

Pejam celik, pejam celik, Level Up KL sudah bersidang selama 5 tahun. Dianjurkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Level Up KL merupakan konvesyen terulung industri permainan video di Malaysia dan Asia Tenggara lazimnya berlangsung selama seminggu. Ia membawakan pembangun permainan video dari luar negara dan dalam negara untuk berkongsi pengalaman dan nasihat untuk membangunkan permainan video melalui sesi ceramah dan kelas serta menjadi tempat bekerjasama untuk mengembangkan bisnes studio pembangun permainan video.

Level Up Play juga mengetengahkan bakat-bakat baru dalam pembangunan permainan video dalam sesi SEA Game Jam yang diadakan pada setiap tahun. Pelbagai permainan dari seluruh rantau Asia Tenggara turut boleh dimainkan dan diraikan bersama-sama dalam majlis SEA Game Awards.

Pada tahun ini, MDEC membawakan Level Up KL bukan sahaja untuk komuniti pembangun permainan sahaja. Orang awam akhirnya dapat bermain permainan video buatan tempatan dan antarabangsa serta mengenali lebih dekat industri permainan video di Level Up Play.

Sempena ulangtahun ke-5 Level Up KL, kami menemuramah Naib Presiden Kandungan Digital Kreatif MDEC, Hasnul Hadi Samsudin tentang masa depan Level Up KL, penganjuran Level Up Play buat pertama kali dan harapan besar beliau terhadap industri permainan video tempatan dan Asia Tenggara.

MyGameOn: Setelah 5 tahun acara Level Up KL berlangsung, adakah objektif Level Up KL telah berjaya tercapai?

Pembukaan Level Up KL Biz 2019

Hasnul Hadi Samsudin: Kami rasa Level Up KL telah berkembang dalam satu fasa daripada bayi sehingga menjadi remaja masuk ke sekolah menengah. Apabila kita lihat sekarang, Level Up KL membolehkan pembangun-pembangun buat lebih daripada kerja-kerja produksi sahaja.

Sekarang, kita sudah ada studio-studio kecil (independent) tersendiri bercakap tentang permainan mereka sendiri dan beritahu bagaimana mereka bangunkan serta macam mana mereka berjaya. Ini sekaligus menunjukkan daripada bekerja dalam syarikat orang lain dan buat produk untuk orang lain, mereka juga terdetik untuk buat produk atau permainan sendiri. Ini adalah trend yang bagus.

Seperti biasa, sudah tentu ada dalam kalangan mereka yang berjaya dalam menghasilkan produk sendiri dan ada juga yang gagal dalam membuat produk mereka. Saya rasa kegagalan itu perkara yang kita kena terima dan belajar daripada kesilapan untuk bergerak maju.

Sebagai badan kerajaan yang memberi banyak tajaan kepada pencipta kandungan (content creators) dan saya perlu berbincang dengan orang besar, kadangkala mereka kata, “Kita tidak patut beri tajaan kepada mereka yang gagal.” Saya pula membalas, “Kalau dia gagal secara tidak sengaja, gagal sebab dia tidak tahu perkara sepatutnya tetapi berjaya menyiapkan produk mereka dan datang kembali untuk pertolongan kita, saya rasa kita patut bantu mereka kerana mereka tahu apa kesalahan mereka dan sekarang mereka akan lakukan lebih bagus berbanding sebelum ini.”

Saya rasa mentaliti sebegini perlu diubah. Level Up KL mengalu-alukan kami untuk memahami cabaran yang dilalui ini. Sebagai contoh, ada panel dalam Level Up KL yang membincangkan tentang kegagalan dan apa anda perlu lakukan sekiranya anda gagal. Malah, CEO Larian Studios juga bercakap tentang belajar dari kegagalan dan apa yang mereka tidak belajar dari kegagalan dalam ucaptama Level Up KL Biz 2019.

Ini adalah salah sebab utama acara ini dipanggil sebagai Level Up KL yang mana kita semua meningkat. Secara jujurnya, ini meletakkan tekanan kepada kami untuk terus mempertingkatkan kualiti Level Up pada setiap tahun.

MyGameOn: Adakah Level Up Play termasuk dalam perancangan jangka panjang Level Up KL?

Pengunjung dari pelbagai peringkat umur berkunjung ke Level Up Play. Gadis cilik bermain Simulacra 2.

Hasnul: Tidak juga. Kami sedar sekarang kami lihat banyak studio tempatan bangunkan kandungan tersendiri dan jadi kandungan yang menepati kualiti bertaraf antarabangsa. Kita pun malu juga kalau kita anjurkan pameran orang awam tetapi tunjukkan kandungan luar negara sahaja. Ini tidak memberangsangkan kepada mereka yang berkunjung ke pameran ini.

Kami mahu orang awam turut serta dan teruja untuk tahu lebih banyak tentang bagaimana nak sertai industri permainan video di sini.  Sebagai pencipta atau pembangun yang melihat orang bermain permainan video ciptaan sendiri, ia menggembirakan mereka terutamanya kalau mereka berkongsi maklumbalas tak kisahlah buruk atau baik. Kalau maklumbalas buruk, mereka tahu apa yang perlu dibaiki untuk jadikan permainan lebih baik. Dengan Level Up Play, ini memberi satu interaksi secara terus antara orang awam dan pencipta kerana pokok pangkalnya, mereka perlu menjual permainan video mereka kepada orang ramai.

MyGameOn: Bagaimana pula dengan orang awam yang masih sangsi dalam industri kandungan kreatif seperti permainan video ini?

Permainan tempatan baru membolot 4 anugerah di SEA Game Awards baru-baru ini, GigaBash oleh Passion Republic Games di Level Up Play

Hasnul: Kita memperkenalkan platform seperti Level Up Play dengan harga sangat-sangat murah dan bawa kandungan-kandungan berkualiti dari dalam dan di luar negara. Semasa Level Up Play, penerbit kanan Marvel Games yang berasal dari Malaysia datang untuk mempersembahkan pelbagai pengumuman baru bagi permainan mudah alih Marvel, Hideo Minaba daripada CyDesignation iaitu pelukis konsep untuk siri Final Fantasy dan Granblue Fantasy dan banyak lagi.

Pada masa yang sama, kita tunjuk hero-hero kita daripada studio tempatan seperti Magnus Games Studio, Metronomik, Passion Republic Games yang membawa permainan mereka dibawakan di seluruh dunia tetapi belum lagi orang Malaysia main seperti No Straight Roads, Re:Legend dan GigaBash. Ini memberi satu pandangan kepada mereka apa yang mereka mahu. Saya faham mereka akan bawa maklumbalas baru yang mungkin relevan kepada orang Malaysia seperti dari segi karakter ataupun budaya.

Level Up Play juga ada bahagian e-sukan yang mana kita rasa masyarakat memang teruja apabila dengar tentang e-sukan. Kita bersama Kementerian Belia dan Sukan melakukan acara flag-off untuk atlet Sukan SEA 2019 bersama Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq. Ini adalah suatu peristiwa yang cukup membanggakan untuk mengiktiraf kontinjen kita ke Filipina.

MyGameOn: Mampukah Level Up Play menjadi setaraf pameran permainan video antarabangsa dibuka untuk orang awam seperti E3, Gamescom atau Tokyo Game Show?

Di sekitar Level Up Play

Hasnul: Ini adalah Level Up Play pertama yang dianjurkan dengan kerjasama ramai pihak seperti UniFi, Media Prima, Ejen Ali, Acer, Axis Esports, Facebook Gaming, eGG, Comic Fiesta dan banyak lagi untuk menggembleng tenaga supaya kita menjayakan sebuah platform permainan video terbaik yang kita boleh tonjolkan kepada Malaysia dan rantau Asia Tenggara. Kita mahu mengangkat martabat Level Up Play ini sebagai satu destinasi pameran permainan video rantau Asia bertaraf E3 atau Gamescom.

Kami memang meletakkan Level Up Play dalam perancangan jangka masa panjang yang mungkin mengambil masa yang lama seperti 10 tahun atau lebih daripada itu untuk sentiasa bekerja keras untuk menjayakan acara ini. Kalau kita mahu bangunkan satu industri, kita harus tengok daripada pandangan industri, syarikat dan para pembangun. Namun, sebenarnya mereka semua memerlukan orang ramai kerana dua sebab utama iaitu untuk beli produk mereka dan untuk cari pekerja-pekerja berpotensi berkhidmat dalam syarikat mereka.

MyGameOn: Walaupun industri permainan video di Malaysia berkembang secara sihat, apakah isu yang masih perlu dibaiki dalam industri permainan video tempatan?

Hasnul Hadi Samsudin

Hasnul: Saya rasa apa yang perlu dibaiki ialah stigma atau persepsi yang mana permainan video ini mendatangkan kesan yang buruk. Ya, saya mengaku permainan video ada keburukannya. Malah, setiap media mempunyai keburukan tersendiri seperti menonton TV terlalu banyak atau pergi tengok wayang dengan kandungan tak elok juga boleh jadi buruk.

Apa yang orang selalu lihat permainan video ini sekadar hiburan semata-mata. Apa yang mereka tidak nampak adalah banyak teknologi yang digunakan di belakang tabir pembangunan permainan video seperti enjin grafik, kecerdasan buatan (AI), analisis big data dan sebagainya. Lazimnya, orang membincangkan perkara-perkara ini dalam tahap ekonomi digital tetapi semua perkara ini memainkan peranan penting dalam permainan video.

Sebagai contoh, AI selalu ada dalam permainan video dan haruslah padu. Kalau kita borak dengan karakter dalam permainan, ia seperti berborak dengan orang sebenar yang mempunyai emosi. Ramai orang tidak sedar bahawa pembangun-pembangun ini sentiasa meningkatkan kualiti pembuatan ke tahap tinggi terutamanya dalam kandungan interaktif.

Kita nak memberikan satu pendedahan yang mana industri permainan video ini bukan hiburan sahaja. Namun, permainan boleh juga dihasilkan dari segi pendidikan dan latihan kebolehan seperti permainan simulasi penerbangan, pemanduan kereta dan digunakan untuk mengajar orang tentang pembedahan melalui permainan berbentuk maya realiti (VR). Tanpa disangkal, permainan video adalah satu hiburan tetapi ia memberikan hiburan sambil belajar sesuatu dipanggil sebagai gamification.

MyGameOn: Apa harapan terbesar anda untuk Level Up KL dalam 5 tahun akan datang?

Re:Legend, permainan terbaru dilancarkan oleh Magnus Games Studio di Level Up Play

Hasnul: Harapan besar saya ialah saya mahu studio kita boleh jadi sebesar Larian Studios (pembangun Divinity: Original Sin dan Baldur’s Gate 3). Larian Studios kini ada 4 studio di seluruh dunia serta satu lagi studio baru bakal ditubuhkan di Malaysia. Setiap studio mempunyai 50 pekerja dan sekarang kira-kira ada 200 pekerja untuk Larian Studios sahaja.

Lebih bagus kalau kita ada satu studio pembangun permainan video yang mungkin menempatkan 200 orang. Ya, Lemon Sky Studios mempunyai kira-kira 300 pekerja tetapi masih bukan lagi pembangun permainan  video sendiri. Kalau boleh, kita mahu ada saiz 200-300 pekerja dalam sesuatu studio dan setiap daripada mereka sendiri membawa pulangan keuntungan tinggi kepada studio mereka.

Dalam masa 5 tahun akan datang, saya juga mahu lihat banyak lagi permainan video berkualiti tinggi dihasilkan di sini seperti mana yang kita lihat dengan industri animasi negara kita dengan Upin & Ipin dan Boboiboy sangat berjaya di serata dunia. Saya berharap permainan tempatan seperti No Straight Roads dan Re:Legend membuahkan hasil kejayaan dan diceritakan oleh pemain di seluruh dunia. 

Level Up KL Biz dan Play pada tahun ini ternyata meningkatkan martabat industri permainan video tempatan dan Asia Tenggara ke tahap lebih tinggi terutamanya dengan penubuhan cawangan Sony Interactive Entertainment Worldwide Studios di Malaysia. Terima kasih kepada Hasnul Hadi Samsudin kerana sudi meluangkan masa bersama kami!

Untuk berita lanjut mengenai gaming dan e-sukan, ikuti kami di FacebookTwitter dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+