“Pertimbangan pasti ada untuk bawa pemain dari organisasi lain sebab kita akan bawa nama Malaysia,” – Ikuto

Todak mengejutkan ramai pihak semalam selepas menjuarai kelayakan MLBB ke Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam.

Mereka berjaya menewaskan RSG MY dengan skor 3-1 dalam pusingan Grand Final.

Selepas kemenangan mereka, netizen juga membuat spekulasi siapa pemain yang akan diumumkan sebagai kontinjen negara nanti. Adakah Todak akan mengekalkan lineup?

Pengurus Pembangunan E-Sukan Todak, Radzi Rahman atau Ikuto berkata, dalam masa agak panjang menuju ke Sukan SEA, banyak perkara akan berlaku.

“Saya belum dapat memberikan kata putus sama ada lineup sama (di kelayakan) akan kekal atau ada perubahan kecil.

“Pertimbangan pasti ada untuk membawa pemain dari organisasi lain menyertai kontinjen negara kerana sekarang kita akan bawa nama Malaysia dan bukan satu-satu organisasi,” katanya ketika dihungi MyGameOn.

Ikuto menambah, sekiranya kesemua organisasi lain boleh memberi kerjasama yang baik dan memudahkan prosedur pastinya itu adalah jalan terbaik.

Sukan SEA 2021 dijangka berlangsung pada 12 Mei hingga 23 Mei ini.

Nama-nama kontinjen negara akan diumumkan pada 7 Mac manakala 14 Mac pula akan dimulakan sesi kem latihan (bootcamp).

Setiap atlet yang terpilih akan mewakili Malaysia dan akan menyertai bootcamp selama dua bulan di Casa Bukit Jalil dan di EBN Esports Arena di Quill City Mall, Kuala Lumpur.

Sebelum ini Skuad Malaysia pernah memenangi pingat emas untuk Hearthstone dan pingat gangsa untuk Mobile Legends: Bang Bang.

Sukan SEA Hanoi 2021 mempertandingkan MLBB, PUBGM (solo), PUBGM (acara berpasukan), Wild Rift (wanita), Wild Rift (lelaki), Free Fire, FIFA Online 4, League of Legends, Arena of Valor dan Crossfire.

RELATED NEWS

+