Peta baru VALORANT diumumkan, Fracture akan tiba dalam kemaskini akan datang

Selepas siri teaser yang diperlihatkan oleh pihak Riot baru-baru ini, mereka mengumumkan peta terbaru mereka bagi permainan VALORANT, Fracture. 

Fracture kali ini menampilkan landskap dan pendekatan yang berbeza berbanding enam peta sebelum ini. Ia akan menampilkan peta berbentuk H, di samping terdapat penceritaan yang tersirat di sebalik persekitaran dan visualnya. Bahkan, ini juga peta pertama yang menampilkan objek yang interaktif untuk pemain. 

Malah, peta ini juga menampilkan kawasan gurun dan fasiliti yang musnah di Site A dan kawasan yang ditumbuhi tumbuhan meliar di Site B. Manakala, di bahagian tengah peta terdapat satu reaktor yang rosak bersama dua set zipline yang menghubungkan laluan bawah tanah.

Mengenai penceritaan, peta Fracture adalah pengenalan bagi Mirror Earth Kingdom, selepas penceritaan Duality.

“Bagi penceritaan, kami mahu menghasilkan satu perkara yang memberi lebih pengertian mengenai konflik di dalam VALORANT. Selepas pengenalan sinematik Duality, yang mendedahkan terdapat ‘kembar’ Bumi, kami mahu memperlihatkan lebih banyak konflik yang berlaku di antara dua dunia itu,” kata David Nottningham, Pengarah Kreatif Riot Games. 

Peta Fracture dijadualkan akan tiba di VALORANT melalui kemaskini 3.05 pada 8 September ini.  

RELATED NEWS

+