PlayStation 5 – 825GB SSD, Tiada Loading Screen, Sokong Backwards Compatibility

Setelah lama berdiam diri, Sony akhirnya mendedahkan keseluruhan spesifikasi konsol baharu mereka iaitu PlayStation 5 (PS5) yang dirancang untuk dilancarkan pada hujung tahun ini.

Dalam video pembentangan bertajuk “Road to PS5”, Mark Cerny (Ketua Seni Bina PS5) membentangkan beberapa perkara mengenai konsol tersebut seperti kebolehan solid-state drive (SSD), pemproses (CPU), keserasian belakang (backwards compatibility) dan juga teknologi audio baharu.

Anda boleh menonton pembentangan 52 minit itu di sini:

Pada asalnya, pembentangan ini sepatutnya dibentangkan di Game Developers Conference (GDC) 2020 tetapi acara tersebut terpaksa ditangguh akibat situasi COVID-19 yang semakin teruk. Oleh itu, ia lebih fokus kepada perkongsian maklumat tentang PS5 yang akan memanfaatkan pembangun permainan video.

Walaubagaimanapun, maklumat yang dikongsi tetap menarik kerana ia membenarkan para peminat PlayStation untuk memahami teknologi baru di PS5 dan membandingkan dengan prestasi PlayStation 4 (PS4).

Berikut adalah senarai lengkap spesifikasi PS5:

Pemproses (CPU): 8x Zen 2 Cores 3.5GHz bersama SMT (frekuensi boleh ubah)

Pemproses grafik (GPU): 10.28 TFLOPs, 36 CUs 2.23GHz (frekuensi boleh ubah)

Seni bina GPU: Custom RDNA 2

Memori (RAM): 16GB GDDR6

Storan dalaman: 825GB SSD

Storan lebihan: Slot SSD NVMe

Storan luaran: Sokongan USB HDD

Pemacu optik: 4K UHD Blu-ray

 

Penggunaan SSD Mempercepatkan Pelbagai Proses

Mengikut pemerhatian penulis, maklumat yang paling menarik bagi golongan yang tidak terlibat dalam pembangunan permainan video ialah penggunaan SSD dalam PS5. Ia jauh lebih laju berbanding dengan hard disk drive (HDD) yang digunakan di PS4.

Dengan adanya SSD, Sony sasarkan PS5 mampu menghapuskan penggunaan skrin muatan (loading screen) dengan menggunakan sepenuhnya kebolehan SSD yang boleh dikatakan 10 kali ganda lebih pantas daripada HDD.

Kebolehan untuk konsol tersebut memaparkan dunia alam maya yang lebih besar juga menjadi lebih efisien. Aspek ini akan memberikan kelebihan kepada permainan video dunia terbuka seperti Red Dead Redemption 2 dan Marvel’s Spider-Man.

Satu lagi penambahbaikan yang disasarkan ialah pemain mampu teruskan permainan video selepas tewas atau mati tanpa perlu menunggu. Bayangkan anda kalah pertarungan dengan bos dalam Sekiro dan terus hidup kembali di tempat hidup semula.

 

Boleh Main Semua Permainan Video PS4

Semasa Sony pertama kali mendedahkan maklumat tentang PS5 melalui Wired.com, mereka menjanjikan teknologi keserasian belakang di PS5. Memang disahkan permainan video PS4 boleh dimainkan di PS5.

Persoalannya, adakah setiap permainan video PS4 akan dimainkan pada kualiti grafik yang lebih cantik atau kadar framerate yang lebih tinggi dan stabil?

Mark tidak menerangkan perkara tersebut tetapi penulis merumuskan jawapannya terletak pada pihak pembangun permainan video dan bukan pihak Sony.

Satu lagi perkara menarik ialah teknologi keserasian belakang baru ini akan kekal dalam setiap konsol PlayStation yang akan datang. Teknologi ini berbeza dengan PlayStation 3 (PS3) di mana ia perlu dipasang chipset PlayStation 2 (PS2) untuk main permainan video PS2.

Apa yang pasti ialah pada hari pertama PS5 dilancarkan ia mampu main hampir semua permainan video PS4. Oleh itu, pemilik PS4 boleh sambung main tanpa perlu risau.

 

Audio Lebih Mirip Kehidupan Sebenar

Aspek audio tidak disentuh dengan begitu terperinci oleh Microsoft semasa membentangkan spesifikasi Xbox Series X. Sony pula telah menambahbaikkan lagi teknologi audio dalam konsol mereka agar ia menjadi lebih cekap dalam menghasilkan bunyian dan suara yang lebih jelas dan mirip dengan kehidupan sebenar.

Menurut penerangan Mark, teknologi ini akan menyesuaikan tetapan audio setiap PS5 mengikut pemiliknya. Teknologi ini dibangunkan berdasarkan fenomena Head Related Transfer Function (HRTF) yang menyatakan bagaimana sesebuah bunyi perubah mengikut bentuk muka dan ciri-ciri lain si pendengar.

 

Konsol Yang Berkuasa Tapi Belum Dibuktikan Kebolehannya

Menurut apa yang telah dikongsi dalam video di atas, penulis merumuskan PS5 sebuah konsol yang sangat berkuasa. Pada waktu ini, ia masih terlalu awal untuk membandingkan ia dengan Xbox Series X kerana kedua-duanya masih belum diuji dengan permainan video generasi seterusnya.

Nampaknya kita perlu tunggu lebih lama untuk tahu perkara-perkara menarik lain tentang PS5 seperti bentuk, harga, dan lain-lain. Penulis berharap Sony akan mendedahkan reka bentuk dan penampilannya selepas ini.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+