“Perubahan ini bukan disebabkan kami berniat untuk gugurkan (kick) ataupun sebab gameplay mereka,” itu kata Sharina Richie, Pengasas Bersama Angel Bosskurr ketika dihubungi MyGameOn berkaitan pengunduran tiga pemain skuad itu, Miss Farr, Ms Reen dan Babyy sebentar tadi.
Kata Sharina, skuad ini ditubuhkan untuk memperkasakan bakat wanita dalam e-sukan dan segala aspek diambil kira bukan saja gameplay.
“Untuk ke depan, kita perlukan banyak positif dari negatif dan paling penting untuk mencapai objektif, kita perlu komited dan memberi komitmen dalam segala aspek yang kita buat.
“Angel Bosskurr sentiasa membuka pintu dan peluang untuk anda semua dalam pencarian ahli baru.
“Tak perlu risau jika anda bukan pemain profesional kerana bakat anda akan diasah oleh Agusrian (jurulatih Angel Bosskurr).
“Yang penting, komitmen dan sikap kerana organisasi ini adalah lebih dari sekadar bermain game,” katanya.
Angel Bosskurr ditubuhkan seminggu yang lalu untuk memberi ruang kepada wanita terutamanya pempengaruh dan pemain kompetitif mengetengahkan bakat mereka dalam e-sukan.
Ia adalah divisi wanita pertama dari Bosskurr Gaming yang kini mempunyai beberapa skaud bernaung di bawahnya.