Quantic Dream Tidak Eksklusif Lagi Bersama PlayStation Selepas Menerima Pelaburan Dari NetEase

NetEase umum syarikat gergasi teknologi Internet ini telah membuat pelaburan masuk ke Quantic Dream yang membangunkan Heavy Rain dan Detroit: Become Human untuk “pembangunan dan penciptaan game generasi seterusnya (next-gen games).

Quantic Dream sudah lama menjalin kerjasama eksklusif bersama Sony Interactive Entertainment. Sebanyak tiga game di bawah studio ini dikeluarkan khas untuk konsol PlayStation iaitu Heavy Rain, Beyond Two Souls dan paling terbaru adalah Detroit: Become Human. 

NetEase ditubuhkan pada 1997 dan telah mengawal operasi game mobile Knives Out, Identity V dan juga sudah lama bekerjasama dengan Blizzard untuk operasi di negara China untuk Overwatch, StarCraft 2 dan banyak lagi. NetEas jugae giat untuk menjalinkan hubungan dengan studio game besar seperti terlibat dalam pembangunan Diablo Immortal dan membeli saham $100 juta Bungie iaitu studio yang membangunkan siri Halo dan Destiny.

Buat masa sekarang, NetEase masih lagi tidak dedahkan angka pelaburan masuk sebenar dalam Quantic Dream. Dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh NetEase, pelaburan ini akan menyokong visi Quantic Dream untuk jadi “syarikat hiburan pelbagai francais antarabangsa dan membangunkan teknologi serta game pada masa hadapan.”

Menurut presiden kanan NetEase, Ethan Wang berkata, “Kami sedang mencari kerjasama dengan studio yang boleh membantu kami dalam pembangunan dan penciptaan game generasi seterusnya secara dalaman. Kebolehan Quantic Dream dalam penceritaan interaktif cemerlang dan pengalaman berharga yang mereka peroleh selama dua dekad membuatkan kami tertarik dengan mereka. Kami rasa berbangga untuk bekerjasama dengan Quantic Dream dan berharap untuk menghasilkan pengalaman game hebat untuk pemain kami di seluruh dunia.”

Connor dalam Detroit: Become Human

Quantic Dream masih lagi dikelola di bawah CEO dan pengarah, David Cage bersama CEO kanan, Guillaume de Fondaumière. Cage berkata, “Kami mahu Quantic Dream mengambil peluang ini bersama NetEase di samping kami sebagai rakan strategik mengalu-alukan perkembangan visi kreatif dan membangunkan syarikat ini ke tahap lebih tinggi.

“NetEase memahami objektif Quantic Dream dan berkongsi hasrat yang sama untuk game berkualiti tinggi dan cita-cita kami untuk studio ini.”

Ini tidak bermakna Quantic Dream berhenti mengeluarkan game untuk PlayStation. Menurut Fondaumière dalam temuramah VentureBeat, Quantic Dream akan melancarkan game untuk PlayStation dan merancang untuk ke platform lain bagi mencapai semua pemain tak kira mana-mana platform. 

Dalam temuramah VentureBeat sama, Fondaumière dan Cage turut beri komen tentang dakwaan persekitaran kerja toksik yang berlegar sejak dilaporkan oleh pihak media Perancis pada tahun lepas dan dakwaan ini tidak jejaskan kerjasama dengan NetEase malahan kedua-dua syarikat ini akan menguatkuasakan amalan kerja sihat di seluruh Quantic Dream.

“Ini tentunya satu perubahan besar selepas membangunkan game secara eksklusif untuk PlayStation selama 12 tahun. Dalam masa yang sama, kami telah membangunkan enjin di PC, Dreamcast, Xbox, PS2, PS3, PS4 dan PS4 Pro. Oleh itu, kami rasa yakin untuk melakukan transisi lancar ke platform lain sambil mengekalkan kualiti tinggi untuk game kami. Kami sudah belajar banyak perkara bersama PlayStation dan kami mahu membawakan pembelajaran ini ke platform lain,” jelas Fondaumière.

Sumber: Polygon

RELATED NEWS

+