[RASMI] Suhaz Esports adalah pasukan pertama guna khidmat jurulatih Filipina

Buat pertama kalinya dalam sejarah Liga Profesional Mobile Legends (MPL) MY, khidmat jurulatih Filipina akan pertama kali digunakan oleh Suhaz Esports.

John Theo Eusebio (Raizen) adalah bekas ketua jurulatih Z4 Esports.

Menariknya, mereka juga akan membawa masuk dua pemain Indonesia yang bermain di MDL iaitu Rico dan Daffa Dwita Siregar (RRQ Sena).

Ketika ditanya mengapa membawa muka-muka baru ini, Pengurusnya, Mohd Nur Firdaus Mohd Konsul berkata ia bagi menyesuaikan diri dengan cara permainan dari negara-negara itu.

“Kalau kita perhatikan di MSC, gaya permainan dari Filipina, Indonesia dan Malaysia berbeza. Jadi kami cuba bawa muka baru untuk kami adaptasi gaya permainan dari negara itu. 

“Ini dengan harapan mereka dapat mengubah cara permainan kita di Malaysia.

“Dalam proses pemilihan, Daffa dan Rico tunjuk prestasi paling baik seterusnya mempengaruhi keputusan kami memilih mereka,” katanya ketika ditemui media di pusat latihan Suhaz Esports di Kajang, Ahad lalu.

Bagi faktor kelangsungan lineup pula, Firdaus berkata ia adalah satu pelaburan jangka masa setahun dengan kontrak dua musim. Malah katanya, setakat ini tiada masalah berkomunikasi kerana semuanya boleh berhubung dalam Bahasa Inggeris.

“Kami juga ada lakukan latihan (scrim) bersama pasukan dari MPL PH dan Indo,” katanya.

John Theo akan membantu ketua jurulatih, Kelvin Unting merangka strategi, latihan dan analisis. Suhaz adalah salah satu dari lapan pasukan jemputan ke MPL MY S10.

Dua lagi pasukan, Team Lemah (kini Team Lunatix) dan Team HAQ adalah dua pencabar baru selepas layak dari pusingan kelayakan.

Lineup penuh Suhaz Esports:

  • Rico (V1NSMOKE)
  • Daffa Dwitama Siregar (Oxygen)
  • Muhammad Sirajuddin Mohd Rezali (Abumon)
  • Muhammad Danish (SitiNurSana)
  • Ameer Razin Ahmad Fauzey (Razin)
  • Ummar Mukhriz Md Nisam (IKYYMONNN)
  • Mohamed Elham Daneal Ishamudin (Amskii)

RELATED NEWS

+