Razer berkolaborasi dengan Fossil untuk menghasilkan jam pintar ini

Razer amat terkenal sebagai pencipta alatan permainan serta peranti gaya hidup yang moden seperti pelitup muka Razer Zephyr yang menawarkan pelindungan lengkap daripada ancaman virus sambil kelihatan menarik dengan LED RGB nya.

Kini, Razer berganding bahu bersama syarikat fesyen Fossil untuk menghasilkan peranti jam pintar yang bakal ditayangkan di CES 2022. Namun, salah satu kedainya secara tidak sengaja tertiriskan imej produk ini.

Berdasarkan butiran yang pernah diterbitkan, peranti ini adalah peranti ‘Gen 6 untuk pemain generasi akan datang.’

Menurut laporan, peranti ini menggunakan teknologi Always On yang bermaksud skrin tidak akan terpadam. Ia juga secara automatik menjejak matlamat aktiviti, langkah, tidur, kadar jantung, tahap kardio dan juga oksigen darah.

Pengguna juga akan menerima semua notifikasi yang diperlukan pada skrin seperti panggilan, teks dan maklumat daripada telefon pintar. Seperti biasa, peranti ini akan menjalankan Wear OS hasil pembangunan Google.

Peranti bersaiz 44mm ini dilaporkan akan bertahan lebih 24 jam, tetapi mampu bertahan lebih sehari jika dipasang dalam mod tertentu. Jam ini juga akan mengecas dengan kadar yang pantas dengan mencecah 80% dalam 30 minit.

Setakat ini, belum ada pengumuman harga atau tarikh pelancaran, tetapi kebarangkalian besar maklumat ini akan didedahkan di CES 2022.

Sumber rujukan: Spark Chronicles

RELATED NEWS

+