Review – Harry Potter: Wizards Unite Guna Semula Formula Pokemon GO Tanpa Objektif Jelas

Teknologi augmented reality (AR) menjadi fenomena besar dalam dunia gaming setelah melihat kejayaan Pokemon GO yang meletakkan Pokemon kegemaran korang lebih dekat di skrin telefon pintar masing-masing. Kali ini, tiba pula giliran Harry Potter untuk dapat game AR mereka tersendiri.

Game ini dilancarkan secara rasmi pada Jumaat lepas (21 Jun) tetapi rata-rata pemain di Malaysia terutamanya kepada mereka yang melakukan pra-daftar sudah boleh muat turun dan main game ini bermula pada hari Sabtu (22 Jun) untuk Android dan iOS.

Harry Potter: Wizards Unite mengekalkan cara permainan yang telah diterapkan dalam Pokemon GO dan disesuaikan mengikut citarasa dunia Harry Potter seperti jampi-menjampi, mengumpul Foundable, mengalahkan raksasa magik serta merungkai misteri di sebalik The Calamity. Tetapi, Wizards Unite ada masalah tersendiri sehinggakan Harry Potter dan Hermoine Granger pun tidak membantu (Ron Weasley pula lagilah, tidak muncul langsung!).

Apa yang seronok tentang Harry Potter: Wizards Unite?

Dalam Wizards Unite, pemain akan menjadi salah satu rekrut baru untuk pasukan Statute of Secrecy ditubuhkan oleh International Confederation of Wizards untuk merungkai misteri The Calamity. Tugas korang adalah menjejak kesan Foundable dan bebaskan mereka daripada sumpahan Confoundable serta menyiasat beberapa individu bertanggungjawab atas misteri yang memporak-perandakkan dunia Wizarding dan Muggle. 

Terdapat banyak perkara korang boleh lakukan dalam game ini. Korang boleh membebaskan Foundable daripada dijerat sumpahan Confoundable dengan melukis jampi di skrin telefon pintar dan Foundable itu disimpan ke dalam Registry. Ingat, setiap jampi korang lakukan menggunakan Spell Energy yang mana pemain boleh simpan sebanyak 75 Spell Energy sahaja buat masa sekarang.

Inn dan Greenhouse

Spell Energy mempunyai fungsi sama seperti Poke Ball dalam Pokemon GO. Cara untuk jana semula Spell Energy korang adalah singgah ke Inn dan Greenhouse. Apa yang membezakan antara dua bangunan ini adalah Inn bertindak seperti Poke Stop yang mana korang kena lukis jampi untuk dapatkan makanan yang akan memberikan Spell Energy kepada korang. Selain itu, korang boleh menarik perhatian Foundable dengan meletakkan Dark Detectors di Inn iaitu sama seperti Lure dalam Pokemon GO.

Greenhouse pula memberikan bahan-bahan yang digunakan untuk membuat Potion dan juga kadang-kala memberikan Spell Energy. Ia juga membolehkan korang untuk menanam pokok dengan menggunakan Ingredient Seeds dan Water korang jumpa sambil berjalan-jalan main game ini. Setelah pokok itu membesar, bahan-bahan ini muncul di dalam peta tetapi bahan itu boleh dikumpul bila korang berdekatan dengan kawasan Greenhouse itu sahaja.

Korang boleh buat Potions melalui bahan-bahan korang kumpul dalam peta. Potion ini membantu korang semasa mengalahkan Foundable atau menempuhi Wizarding Challenges seperti menguatkan jampi menggunakan Exstimulo Potion dan jana nyawa menggunakan Healing Potion. Korang boleh mempercepatkan proses Potion dengan melukis jampi yang disyorkan dalam buku panduan.

  • Koleksi sticker dalam Registry

Ingat tak Foundable korang dapat itu? Registry menyimpan pelbagai jenis Foundable yang korang kumpul ke dalam bahagian Exploration seperti Dark Arts, Hogwarts School, Wonders of Wizarding World dan macam-macam lagi elemen magik wujud dalam dunia Harry Potter. Ia seakan korang mengumpul sticker dan lekatkan ke dalam buku sticker khas.

Selain itu, Registry ini juga mengambil rekod Wizarding Challenges yang korang berhadapan di Fortress dan beberapa ahli sihir yang dikaitkan dengan The Calamity dalam slot Mysteries.

  • Latih kebolehan magik tersendiri

Sebaik sahaja korang tiba pada level 6, slot Profession dibuka untuk memberi latihan khas yang membantu combat korang semasa dalam Wizarding Challenges atau mengalahkan Foundable. Terdapat tiga laluan Profession yang mempunyai keunikan tersendiri iaitu Auror, Magizoologist dan Professor. 

  • Lawat pondok Hagrid dan kedai Ollivander’s Wand melalui Portkey

Dalam peta Wizards Unite, korang akan berjumpa dengan Precious Portkey Portmanteau yang berfungsi sebagai pintu masuk ke lokasi-lokasi ikonik dalam dunia Harry Potter seperti Hagrid’s Hut dan Ollivander’s Wand. Untuk membuka Portkey ini, korang memerlukan Gold Key dan Silver Key. Setiap Portkey ada jarak berbeza-beza sebelum boleh dibuka dan ini mengambil konsept sama seperti Egg dalam Incubator di Pokemon GO.

Apa yang tidak seronok tentang Harry Potter: Wizards Unite?

Meskipun Wizards Unite adalah satu peningkatan besar berbanding Pokemon GO atau Ingress, game ini kelihatan seperti tiada hala tujuan sebenar. Dalam Pokemon GO, tujuan utama korang adalah untuk kumpul Pokemon. Namun, Wizards Unite suruh korang kumpul Foundable dalam pelbagai bentuk sama ada manusia, raksasa ataupun artifak dengan harapan untuk dijadikan klu untuk mendapat tahu apa punca sebenar The Calamity. 

  • Pembaziran Spell Energy dan kesusahan untuk mendapatkannya

Selain itu, sesetengah Foundable akan menjadi semakin susah untuk dibebaskan daripada Confoundable sehinggakan korang kena guna Potion yang korang terima sebaik sahaja korang naik level ataupun buat Potion sendiri dan jampi-jampi ini memakan Spell Energy yang korang kumpul.

Oleh kerana Wizards Unite menggunakan data geografi yang sama seperti Pokemon GO, kawasan-kawasan yang pernah jadi Poke Stop dan Gym ditukarkan kepada Inn dan Greenhouse dalam game ini. Kepada mereka yang duduk di kawasan luar bandar (seperti saya), saya ada kesukaran untuk mengumpul Spell Energy. Ia menjadi masalah kerana Inn dan Greenhouse hanya dijana kembali dalam masa 5 minit. 

  • Microtransaction masih lagi berleluasa

Wizards Unite juga ada masalah sama seperti game mobile, Harry Potter: Hogwarts Mystery yang bersepah dengan microtransactions yang menggunakan duit sebenar sebagai jalan pintas. Korang nak 50 Spell Energy? Korang nak Potions cepat siap? Maka, korang kena sediakan sekurang-kurangnya RM20 dalam tangan korang. 

Game AR ini menelan banyak kapasiti bateri telefon pintar korang. Lebih-lebih lagi, Portkey pula hanya jejak langkah kaki pemain sekiranya korang buka game itu pada sepanjang masa. Harap-harap Niantic selaraskan Google Fit untuk Wizards Unite seperti apa diterapkan dalam Pokemon GO juga.

Akhir kata, Harry Potter: Wizards Unite ini memberikan banyak (terlalu banyak) kandungan dan memperkenalkan sistem menarik (seperti Profession) kepada pemain. Niantic mengambil masa bertahun-tahun untuk memperbaiki Pokemon GO dan kami merasakan pembangun ini akan mengambil langkah yang sama untuk Wizards Unite.

Harry Potter: Wizards Unite kini boleh dimuat turun secara percuma di Android dan iOS.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+