Review: OPPO Reno6 Z 5G sesuai untuk gaming

Unit review disediakan oleh OPPO Malaysia.

OPPO Reno6 Z 5G adalah tawaran terbaharu dalam siri Reno. Ia mempunyai beberapa tarikan antaranya tetapan tiga kamera utama yang menyokong fungsi portrait untuk gambar dan juga video. 

Dengan ketahanan bateri yang dibantu oleh cip pemprosesan MediaTek Dimensity 800U 5G, ia memang sesuai untuk anda yang ingin bermain game dalam waktu yang lama. Reno6Z juga mempunyai aplikasi Game Space yang sedia terbina dan mempunyai beberapa fungsi menarik.

Tapi bagaimana prestasi sebenar permainan untuk peranti ini? Penulis baru-baru ini mencuba MLBB, Wild Rift, Ragnarok X: Next Generation dan PUBG Mobile. Sebelum itu, jom tengok spesifikasi:

  • OS: ColorOS 11, berdasarkan Android 11
  • CPU: MediaTek Dimensity 800U 5G SoC
  • GPU: Mali-G57 MC3
  • RAM: 8GB
  • Storan dalaman: 128GB
  • Bateri: 4,310mAh dengan pengecasan pantas VOOC Flash Charge 4.0 (30W)
  • Harga: RM1,699

Mobile Legends: Bang Bang

Mobile Legends: Bang Bang boleh dikatakan antara permainan mudah alih yang dimainkan ramai orang. Penulis juga mencubanya di OPPO Reno6 Z dan nyata keputusannya tak mengecewakan. Sesi permainan adalah sangat lancar. Grafik kelihatan cantik dan pergerakan serta animasi setiap hero juga lancar.

Jika ada teamfight berlangsung, peranti ini tidak stutter dan sebaliknya menunjukkan perlawanan yang lancar. Penulis juga tiada masalah bermain MLBB dengan tetapan HD dan grafik tinggi serta mod bingkai tinggi (60FPS). 

Bagi anda yang gemar bermain MLBB bersama rakan, pastinya pengalaman tidak mengecewakan. Apa yang penulis perasan, penggunaan fon telinga lebih sesuai untuk mendengar segala efek bunyi dalam permainan.

Wild Rift

Apabila mencuba Wild Rift pula, pengalamannya lebih kurang sama seperti MLBB. Setiap pergerakan dan teamfight adalah lancar dan penulis memainkannya dalam mod Performance menerusi aplikasi Game Space dari OPPO sendiri. 

Game Space ini membolehkan penulis untuk halang panggilan masuk dan notifikasi dari media sosial. Ia juga mempunyai sokongan touch optimization untuk mengesan sensitiviti bagi sentuhan jari di permukaan skrin. Bagus untuk permainan FPS dan Battle Royale.

Di tetapan grafik Performance, Wild Rift boleh mencapai 60FPS tanpa masalah dan setiap permainan dimainkan dengan lancar. Cumanya bagi Wild Rift, penulis sarankan anda memperbesarkan ikon bagi skill dan spells untuk keselesaan masing-masing.

Tetapan digunakan penulis agak kecil ikon kerana dalam tetapan default.

PUBG Mobile

PUBG Mobile juga dimainkan dengan lancar di peranti ini. Setiap pergerakan dan tembakan adalah lancar dan tiada masalah. Jika anda menggunakan fon telinga, tembakan didaftarkan dengan segera ke telinga, bermaksud tiada delay yang nyata selepas tembakan dilepaskan.

Walaubagaimanapun, tetapan grafik hanya boleh ditingkatkan setakat HD sahaja. Ia tidak boleh ditetapkan ke Ultra HD ataupun HDR.

Namun, gameplay masih lagi lancar dan grafik serta objek sekeliling juga kelihatan cantik.

 

Ragnarok X: Next Generation

Permainan mudah alih yang sedang trending kini, Ragnarok X: Next Generation adalah yang paling lancar antara semua. Penulis menggunakan tetapan grafik tertinggi dengan 60FPS. Ia sangat lancar dan setiap raksasa dan pemain-pemain lain load dengan pantas tanpa masalah.

Animasi dan serangan juga tiada delay atau stutter. Setiap perlawanan dan pergerakan dirasakan tiada masalah.

Ini adalah tetapan tertinggi yang digunakan. Namun, apa yang penulis dapati apabila bermain dengan tetapan ini selepas 30 minit, peranti ini akan panas sedikit tapi masih boleh dimainkan dengan baik.

Kesimpulan

Penulis rasa sedikit kekurangan pada peranti pintar ini untuk sesi gaming adalah pembesar suara. Ia tidak begitu sedap didengari dan audio akan ‘pecah’ sedikit apabila dibuka pada tetapan maksimum. Bagaimanapun, anda boleh guna fon telinga untuk bermain game dan menikmati audio terbaik dari permainan.

Setiap sesi gaming juga tidak ‘makan’ bateri dengan begitu cepat. Sebagai contoh, satu sesi MLBB atau Wild Riift hanya turun tiga peratus hingga lima peratus bergantung kepada tetapan digunakan. 

RELATED NEWS

+