Ketua Jurulatih HomeBois, Khairul Azman atau Pabz sah akan meletakkan jawatan sejurus tamat MSC 2024. Ini berikutan dari kekalahan HomeBois ke atas NIP Flash 2-3 hari ini.
“Saya sebagai Ketua Jurulatih akan bertanggungjawab sepenuhnya.
“Dengan ini saya melepaskan jawatan dan undur diri (keluar) dari HomeBois,” itu kata Pabz dalam satu sidang media pasca perlawanan HB vs NIP Flash hari ini di kejohanan di Riyadh, Saudi itu.
Pabz mengakui prestasi pasukan HomeBois hari ini tidak memberangsangkan malah percaturan mereka juga tidak menjadi kerana kekurangan disiplin.
Sebagai jurulatih, dia sebelum ini membantu pasukan itu menjuarai Liga Profesional MLBB (MPL MY S12) dan membawa Team Haq ke M4 dengan memenangi MPL MY S10 namun skuad itu tewas di tangan Turki, Incendio Supremacy pada edisi dunia ke-4 itu.
Meskipun tewas sebagai top 8 di MSC 2024, mereka membawa pulang AS$100,000 (RM470,000). Kini hanya tinggal satu lagi pasukan Malaysia di MSC 2024 iaitu Selangor Red Giants yang bakal bertembung NIP Flash seterusnya.
Kejohanan ini akan berakhir pada Ahad ini (14 Julai) di mana grand final akan dipertontonkan untuk sang juara merebut sebahagian besar dari AS$3 juta (RM14 juta).
Foto: MOONTON Games