Sentinels jauh lebih bersedia untuk VALORANT Champions Tour kali ini, menurut ShahZaM

Kejohanan terbesar buat permainan penembak taktikal Riot Games iaitu VALORANT Champions Tour (VCT) Berlin 2021 bakal berlangsung buat julung kalinya.

Peminat serta pemain pasti tidak sabar untuk menyaksikan pasukan-pasukan yang terbaik di dunia menentang satu sama lain demi menjulang piala dunia serta merebut peluang memenangi kumpulan hadiah wang sebanyak AS$1 juta (RM4.2 juta). 

Antara pasukan terulung di VCT Berlin adalah Sentinels dan mereka adalah antara pasukan yang akan diberi perhatian oleh ramai penonton VCT tahun ini. Hal ini kerana mereka dianggap antara pasukan yang teratas di dunia dan juga insiden di kejohanan VALORANT Champions Tour 2021: Stage 3 Masters – Berlin di mana Sentinels tewas 0-2 menentang Team Envy di peringkat suku akhir.

Namun, menurut Shahzeb Khan, atau lebih dikenali sebagai ShahZaM, lebih baik tewas di Stage 3 Masters daripada tewas di pentas kejohanan dunia ini. Dalam kata lain, mereka lebih bersedia kali ini.

Kumpulan Maut

Untuk kejohanan ini, Sentinels ditempatkan di Kumpulan B bersama Furia, KRÜ Esports dan Team Liquid. Pasukan ini masing-masing bukan pasukan yang boleh dipandang rendah.

Furia dan Team Liquid kedua-duanya antara pasukan yang tidak kalah di pusingan kelayakan Last Chance Qualifier di rantau masing-masing. KRÜ Esports pula pasukan LATAM yang masih berbisa menurut beliau.

Namun begitu, ShahZaM percaya bahawa kumpulan yang diduduki oleh Sentinels adalah seimbang dan mereka percaya mereka mampu menandingi pasukan-pasukan itu.

Jurulatih Baru

Dengan memenangi hampir setiap kejohanan serantau VCT dan memenangi acara LAN pertama di Iceland. Sentinels melalui semua acara ini tanpa jurulatih, di mana IGL pasukan ShahZaM melakukan semua tugas seorang jurulatih.

Tetapi selepas kekalahan mereka dalam Stage 3 Masters Berlin, pasukan itu memutuskan untuk mencari seorang jurulatih.

Rawkus menyertai pasukan sejurus sebelum VCT Champions berlangsung dan sempat melatih pasukan agar mereka berada di kemuncak prestasi mereka. 

 “Rawkus sudah melakukan lebih daripada apa yang saya jangkakan. Beliau cukup bagus dalam meneliti perlawanan-perlawanan sebelum ini dan mampu menghasilkan strategi yang bernas,” kata Shahzeb Khan kepada media. “Kehadiran beliau sedikit sebanyak meringankan beban saya,” tambah beliau.

Apabila ditanya tentang kelebihan Rawkus kepada pasukan, ShahZaM mengutarakan keupayaan Rawkus dalam menjelaskan peranan masing-masing dalam permainan dan juga cara beliau membantu pasukan sentiasa berjaga-jaga dengan pasukan lain.

“Di rantau ini (NA), permainan ini semakin mudah dan kami baru sahaja pulang dari berehat panjang. Jadi beliau bagus dalam membantu kami untuk kekal fokus.”

Ayam Tambatan – TenZ

Peminat Sentinels pasti mengenali pemain bintang pasukan itu, iaitu TenZ. Pemain yang lemah lembut itu dianggap pemain terbaik di dunia buat masa ini dan semestinya ramai peminat jangkakan bahawa Sentinels akan bermain bertumpukan di sekeliling TenZ.

“Tidak semestinya,” kata ShahZam apabila ditanya jika Sentinels akan bertumpukan strategi di sekeliling TenZ. “Tiada strategi dibina bertumpukan pemain tertentu, tetapi kami mengambil kira permainan beliau kerana TenZ pastinya salah seorang pemain terkuat di dunia,” jelas beliau.

Pasukan Lain

Antara pasukan yang pasti menjadi tumpuan selain Sentinels di pusingan kejohanan ini adalah Gambit dan Team Envy.

Gambit adalah juara untuk pusingan kejohanan Stage 3 Masters di mana mereka menewaskan Team Envy dengan mata 3-0. Malah, mereka adalah pasukan pertama di dunia untuk memenangi perlawanan kejohanan kompetitif dengan skor 13-0 sewaktu menentang G2 Esports.

Team Envy pula pasukan yang berjaya menghantar Sentinels pulang pada pusingan suku akhir Stage 3 Masters.

ShahZaM juga menyebut bahawa pasukan Korea, Vision Strikers, adalah sebuah pasukan yang patut digeruni.

“Vision Strikers memberi impak yang kuat. Apabila anda menentang mereka, anda dapat merasakan bahawa setiap tindakan diambil kira,” ujar beliau. “Vikings dan X10 juga antara pasukan utama kumpulan masing-masing,” tambahnya lagi.

Jangan lepaskan peluang anda untuk menonton perlawanan pertama mereka di mana Sentinels akan menentang Furia di TrovoYouTube atau Twitch rasmi VALORANT. Anda juga mampu menerima item masa terhad apabila anda memautkan akaun Twitch anda dengan akaun Riot Games. 

RELATED NEWS

+