Seorang pemain profesional MLBB terkena santau angin dan masih belum sembuh

Pemain profesional yang hebat pasti akan menjadi buah mulut di bibir setiap peminat. Namun begitu, di saat individu itu mengecapi kejayaan dan populariti, pasti akan ada individu lain yang menaruh sifat dengki dan iri hati.

Itulah yang terjadi kepada salah seorang pemain profesional MLBB. Kami dari pihak MyGameOn tidak ingin mendedahkan nama beliau di atas dasar menghormati privasinya.

Sebelum ini, beliau adalah seorang pemain yang berjaya mengharumkan nama negara di Kejohanan Dunia namun mula bergerak secara tidak aktif selepas mengetahui dirinya tidak berada di dalam keadaan baik.

Ini kerana selepas dihubungi pihak MyGameOn, beliau menyatakan keadaan dirinya tidak seperti dahulu sejak dua tahun lepas dan sekarang sedang beransur pulih akibat dari buatan orang iaitu “santau angin”.

Menurut beliau, kerjayanya sebagai pemain profesional terhenti seketika oleh kerana perbuatan hasad dengki yang tidak seharusnya ada di kalangan komuniti MLBB.

Kami sempat menanyakan pandangan dari seorang ustaz yang hanya mahu dikenali sebagai Ustaz Hanafi tentang bagaimana karakteristik santau angin ini.

DEFINISI

Ketika ditanya tentang definisi santau angin, beliau memaklumkan kepada kami “Santau angin adalah sejenis sihir yang menggunakan ramuan tertentu dan dihantar melalui angin oleh jin yang dibuat oleh bomoh atau mereka yang mempunyai ilmu mengenainya. Santau itu akan masuk ke dalam makanan, rumah atau tubuh manusia tertentu,” kata ustaz Hanafi.

KESAN-KESAN

“Kesan kepada mereka yang terkena sihir atau santau angin itu adalah gatal-gatal, miang jika terkena miang buluh. Yang keduanya adalah kalau terkena serbuk kaca akan mengakibatkan muntah darah kerana santau angin itu sudah masuk ke dalam makanan. Yang ketiga ketika individu itu terkena santau angin yang masuk ke dalam rumah, mereka akan berasa panas dan sakit,” tambah beliau.

CARA MEMBUAT

Ditanya tentang cara membuat sihir itu, beliau menjawab. “Kebanyakkan santau angin dibuat mengikut kepakaran, ada yang menggunakan serbuk kaca. Ada juga yang menggunakan bisa binatang yang berbisa seperti lipan, ular dan ada juga yang menggunakan miang buluh. Mereka akan larutkan dengan najis, tepung dan juga bentuk makanan dan minuman seperti kopi. Kopi itu akan dibawa oleh jin melalui angin selepas ditiup kepada orang itu atau gambar dan rumah yang ingin ditujukan.” 

PENGALAMAN MERAWAT

“Berdasarkan pengalaman saya merawat santau angin sebelum ini, tujuan mereka melakukan sihir atau bertemu dengan bomoh yang melakukan sihir adalah kerana dendam dan sakit hati.

“Ada juga yang memberikan pendapat bahawa orang yang terkena sihir ini sudah melakukan kejahatan dan kezaliman seperti meminjam wang dan tidak memulangkannya. Ada juga mereka yang berbohong di dalam perniagaan.

“Selain itu, ada individu yang terkena sihir ini boleh juga berlaku tanpa sebab iaitu mereka lalu di sebuah kedai untuk makan dan ada orang yang ingin menghantar sihir kepada tuan kedai dan terkena kepada pelanggan,” kata beliau.

CARA RAWATAN

“Cara rawatan mereka yang terkena sihir ini bergantung kepada pengamal perubatan masing-masing. Jika dalam perubatan Islam, ia dirawat menggunakan limau, daun nangka dan juga daun bidara. Limau nipis dan limau purut digunakan sebanyak 7 biji dan digunakan bersama mangsa ketika mandi pada petang dan malam.”

“Pada hari pertama mereka mandi 7 biji limau purut dan hari kedua dimandikan dengan 7 biji limau nipis yang sudah diruqyah menggunakan ayat Al-Quran. Ada juga yang menggunakan daun bidara, daun itu akan direbus dan memberikan mangsa mandi. Akhir sekali, ada yang hanya menggunakan ruqyah sahaja tanpa mandi. Waallahualam. Air yang diruqyah dengan kaedah mandi adalah lebih berkesan,” ujarnya.

Ustaz Hanafi adalah seorang pengamal perubatan Islam dan beliau sudah mempunyai pengalaman selama 15 tahun untuk merawat mangsa-mangsa terkena sihir ini. Beliau bergerak secara solo dan tidak terikat dengan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO).

Mari kita sama-sama doakan agar pemain profesional itu sembuh sepenuhnya dari santau angin ini dan semoga beliau akan kembali sihat untuk menghiburkan kita dengan corak permainan beliau yang hebat dan bertenaga.

RELATED NEWS

+