Snapdragon Pro Series (SPS), ekosistem esukan pelbagai judul terbesar di dunia yang dianjur oleh ESL FACEIT Group (EFG) dan Qualcomm Technologies, Inc., hari ini mengumumkan kejohanan Mobile Masters akan berlangsung di Tennis Indoor Stadium Senayan, Jakarta, Indonesia pada 11 April hingga 13 April.
Sebagai kejohanan yang paling gah tahun ini, Mobile Masters akan menyaksikan 12 pasukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) terbaik di dunia bersaing untuk merebut sebahagian daripada hadiah bernilai sehingga AS$200,000 (RM900,000) dan gelaran sebagai juara global pertama SPS MLBB.
“Tahun ini merupakan tahun yang amat bermakna untuk program MLBB Snapdragon Pro Series, dan penganjuran kejohanan dunia di Indonesia adalah cara terbaik untuk mengakhirinya,” kata Naib Presiden Ekosistem Permainan, Mudah Alih, ESL FACEIT Group, Sam Braithwaite.
“Asia Tenggara menjadi tuan rumah kepada beberapa acara kami yang paling banyak ditonton, dan kami tidak sabar untuk menyaksikan semangat membara di Mobile Masters ini,” tambahnya.
Mobile Masters MLBB 2025 akan menampilkan 12 pasukan, dengan 10 pasukan yang layak dari Musim ke-6 SPS. Mobile Challenge Finals peringkat rantau akan berlangsung dari 9 Februari hingga 2 Mac dan satu SLOT diberikan kepada pemenang kelayakan MLBB China MOONTON Games.
Slot kelayakan terakhir akan diberi kepada Team Liquid ID yang mewakili negara tuan rumah kejohanan, Indonesia.
Jadual Mobile Masters MLBB 2025
– Peringkat Kumpulan: 7 – 9 April
Enam pasukan teratas akan mara ke Playoffs
– Playoffs: 11 – 13 April
– Grand Finals: 13 April
Selain siaran utama dalam Bahasa Inggeris, Mobile Masters MLBB 2025 akan disiarkan dalam beberapa bahasa lain, termasuk Bahasa Indonesia, yang juga akan menjadi bahasa di lokasi acara.
Tiket untuk menyaksikan Playoffs secara langsung akan mula dijual pada 16 Januari, jam 12 tengah hari (waktu tempatan GMT+8), di SINI.