Star Wars Jedi: Fallen Order kini ditambahkan mod New Game Plus dan banyak lagi kandungan baharu

Antara permainan video Star Wars yang paling disanjungi kebelakangan ini ialah Star Wars Jedi: Fallen Order. Pembangunnya Respawn Entertainment telah melancarkan kemaskini baharu yang menambahkan pelbagai kandungan untuk mendorong pemain kembali bermain.

Kemaskini terbaru untuk Star Wars Jedi: Fallen Order telah dilancarkan semalam untuk PC dan konsol. Selain daripada menambahkan beberapa kostum baharu untuk watak utama Cal Kestis dan rakan robotnya BD-1, ia juga menambahkan mod permainan New Journey + (NJ+) dan dua mod Meditation Training iaitu Combat Challenges dan Battle Grid.

NJ+ berfungsi lebih kurang sama dengan New Game Plus dalam siri permainan Dark Souls. Anda boleh main semula permainan tersebut tetapi anda tetap boleh memakai semua kostum yang pernah diperoleh sebelum ini. Namun, anda masih perlu mendapatkan kebolehan dan kuasa baharu mengikut aturan jalan cerita.

Ramai pemain telah meminta supaya kostum Inquisitor boleh dipakai serta penambahan lightsaber warna merah. Kedua-duanya kini boleh diperoleh dan dipakai dalam NJ+.

Dua mod Meditation Training yang disebut tadi juga hanya boleh diakses melalui NJ+. Dalam Combat Challenges, terdapat 12 cabaran yang boleh dilakukan. Setiap cabaran mempunyai musuh-musuh yang berbeza.

 Jika anda selesaikan satu cabaran, anda memperoleh satu bintang. Jika anda selesaikannya tanpa menyembuhkan diri, anda memperoleh dua bintang. Untuk mendapatkan kesemua tiga bintang, anda perlu selesaikannya tanpa langsung disakiti musuh.

Kalau anda berjaya mengumpulkan 12 bintang, anda akan mendapat ganjaran istimewa iaitu tiga skin baharu untuk BD-1.

Battle Grid pula sebuah mod yang dibuat untuk mereka yang mahu mencipta cabaran sendiri. Ia membolehkan anda untuk meletakkan musuh-musuh tertentu dalam sebuah ruangan untuk dijadikan cabaran tersendiri.

Kemaskini ini dilancarkan pada Hari Star Wars yang terkenal dengan ungkapan May The Fourth Be With You. Nampaknya ia masa yang sesuai untuk peminat Star Wars Jedi: Fallen Order untuk kembali bermain permainan ini dan mencuba segala kandungan baharu.

Pada waktu ini, judul tersebut juga mendapat potongan harga di pelbagai platform. Bagi pengguna PlayStation 4 (PS4), ia mendapat potongan harga 40% dan kini dijual pada harga RM158.40 di PlayStation Store.

Untuk PC pula, ia mendapat potongan harga 40% juga di Steam dan dijual pada harga RM149.90. Di platform Epic Games Store pula, ia dijual pada harga US$17.39 (RM76).

Sumber: Respawn Entertainment

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+