Stefan (EVOS Soul) kini Ketua Pembangunan Perniagaan di EVOS Esports

Bekas pemain Mobile Legends EVOS SG, Stefan Chong atau EVOS.Soul kini menggalas tanggungjawab baru di organisasi Singapura itu.

Dalam satu kenyataan media hari ini, EVOS mengumumkan Soul sebagai Ketua Pembangunan Perniagaan untuk EVOS Esports di Singapura.

Pada masa yang sama, EVOS juga akan terus berada dalam arena kompetitif dengan memperkenalkan pasukan baru Mobile Legends tak lama lagi di negara itu.

Mereka akan bertarung di MPL Singapura dan pastinya ia akan memberi kejutan kepada semua apabila pemain senior mengundur diri dan wajah baru akan muncul.

Soul akan menerajui inisiatif perkembangan bisnes EVOS Esports di Singapura dengan menjalinkan hubungan bersama pemegang saham merangkumi jenama, agensi kerajaan dan Moonton Games, pembangun MLBB sendiri.

Pemain muda ini mempunyai Diploma dalam Teknologi Aeroangkasa di Ngee Ann Polytechnic dan mengambil ijazah sarjana muda dalam jurusan Reka Bentuk Mekanikal dan Kejuruteraan Pembuatan di Singapore Institute of Technology.

Beliau sebelum ini bertarung bersama EVOS SG, mewakili Singapura di gelanggang Malaysia/Singapura dan di kejohanan dunia, M2. Soul juga bertanding di Sukan Asia Tenggara pada 2019 lalu di Filipina.

“Saya bersyukur kerana mendapat sokongan peminat untuk karier saya sehingga tahap ini. Saya juga bersyukur pada Ivan dan pihak atasan yang memberi kepercayaan untuk menggalas posisi ini.

“Saya ingin terus berhubung dan menjalinkan kerjasama bersama jenama, agensi kerajaan dan penerbit sementara EVOS terus melabur di Singapura,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EVOS Esports berkata, Stefan adalah contoh yang baik dan bagaimana EVOS memberi impak positif kepada industri e-sukan di Singapura; seorang penuntut universiti yang bertukar menjadi pemain profesional dan kini sebagai Ketua Pembangunan Perniagaan di organisasi tersebut.

RELATED NEWS

+